PERODUA Myvi yang dilaporkan hilang ditemui beralaskan ketulan bata di Kampung Abdullah.

Segamat: Sebuah kereta Perodua Myvi yang dilaporkan hilang di Raub, Pahang, beberapa bulan lalu, ditemui di sekitar Kampung Abdullah di sini, kelmarin, tanpa tayar dan hanya beralaskan ketulan bata.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, kenderaan itu ditemui kira-kira jam 4 petang oleh anggota polis yang ketika itu menjalankan rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan.

“Ketika membuat rondaan, anggota kami menemui sebuah Perodua Myvi tanpa keempat-empat tayarnya yang diletakkan berhampiran sebuah parit dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan di lokasi itu mendapati keempat-empat kawasan tayar kenderaan itu hanya diletakkan ketulan bata kerana tayarnya sudah hilang,” katanya.

Beliau berkata, semakan dibuat dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, Pahang, mendapati nombor casis kenderaan dan nombor plet pendaftarannya menyamai dengan rekod pemilikan sebuah Perodua Myvi seorang pengadu yang membuat laporan polis di IPD Raub pada Ogos lalu yang mendakwa kenderaannya hilang.

“Pemeriksaan juga mendapati cukai jalan kenderaan itu juga sudah tamat tempoh sejak beberapa bulan lalu dan berdasarkan siasatan awal di lokasi penemuan kenderaan itu, ia baru diletakkan beberapa jam sebelum ditemui polis dalam keadaan pintunya yang tidak berkunci,” katanya.

Mohd Kamil berkata, pihaknya masih menyiasat dari pelbagai sudut mengenai penemuan kereta itu termasuk punca utama suspek yang sanggup memandu dari Raub ke Segamat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2016 @ 10:08 AM