SULTAN Nazrin beramah mesra bersama tetamu yang hadir sempena Konvensyen Nasional Penyatuan Bangsa di DATC, UITM Shah Alam.
Ayusliza Azizan
hmetroshahalam@hmetro.com.my


Shah Alam: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyeru masyarakat Melayu menjadi bangsa yang bangga, memiliki maruah, harga diri dan berazam untuk lebih bersedia memberi serta kurang meminta.

Baginda bertitah, Melayu harus membantu bangsanya supaya dapat berbangga dengan menyerahkan amanah dan tanggungjawab kepada mereka yang kompeten, berwibawa, berpengetahuan dan berintergriti.

“Ia lebih baik daripada menyerahkan kepada orang perantaraan yang bersifat parasit seperti berniaga secara buluh kasap iaitu untung tiada, modal pun lesap. Muliakan bangsa Melayu dengan memperkayakan sopan, tertib dan hemah budinya.

“Melayu perlu berimej yang dihormati, bukan yang ditakuti. Buktikan sebagai bangsa yang pintar dengan menghentikan perbuatan mengolah cipta bahan ketawa,” titah baginda pada Majlis Titah Diraja dan Perasmian Konvensyen Nasional Penyatuan Bangsa 2016 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, semalam.

Hadir sama, Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Dr Hasan Said.

Baginda bertitah, UiTM berjaya memenuhi visi dan misi dalam membangunkan sumber manusia Melayu sejak sekian lama.

“UiTM juga berjaya melatih tenaga mahir dan profesional Bumiputera sekali gus memenuhi strategi serampang dua mata Dasar Ekonomi Baru iaitu membasmi kemiskinan serta menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi,” titah baginda.

Justeru, baginda berharap UiTM dapat mempertahankan kejayaan dan meneruskan rekod kecemerlangan menghadapi dugaan dan cabaran lebih besar merintih kejayaan serta mencipta kecemerlangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2016 @ 9:57 AM