CHE Hassan bersama Wan Naimah menunjukkan telur asin yang siap dibotolkan untuk dijual.
Ismail Muhamad
am@hmetro.com.my


Kota Bharu: Dengan menjual telur masin hasil penternakan lebih 1,000 ekor itik telur sejak tiga tahun lalu mengubah nasib hidup seorang peserta e-Kasih, Che Hassan Che Mood, 57, apabila dia memperoleh pendapatan kasar RM12,000 sebulan.

Bapa sembilan anak yang turut dibantu isterinya, Wan Naimah Wan Yaakub, 48, menternak itik telur di belakang rumahnya di Kampung Bayu Lalang, Pasir Mas berjaya membantu peserta Azam Tani di bawah bimbingan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) keluar daripada belenggu kemiskinan hidup.

Katanya, sejak menjadi peserta Azam Tani MARDI tiga tahun lalu, dia tekad mengubah hidupnya yang hanya berpendapatan RM300 sebulan bekerja kampung dengan menternak itik secara kecil-kecilan kepada skala besar.

“Peringkat awal saya hanya menternak 50 ekor itik dan memproses telur asin untuk jualan kepada penduduk setempat. Hasil bimbingan MARDI, saya tambah jumlah ternakan kepada 100 ekor dan kini mencapai lebih 1,000 ekor itik yang diternak menggunakan empat kandang di belakang rumah.

“Setiap hari saya memperoleh purata pendapatan RM400 hasil jualan telur asin yang dibeli peraih atau pelanggan tetap ,” katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah peserta cemerlang Azam Tani sempena Himpunan Jalinan Kasih Peserta Azam Tani MARDI Kelantan 2016 di sini, kelmarin.

Menurut Che Hassan, setiap hari dia bersama isteri memproses 2,000 biji telur masin.

Katanya, penternakan itik telur tidak memerlukan kos besar, selain penjagaan yang mudah dan kebanyakan itik diternaknya dibeli dari Perak pada harga RM7 seekor.

“Saya berterima kasih kepada MARDI yang banyak membimbing saya sebagai peserta Azam Tani terutama membantu saya menyertai pelbagai program peningkatan pendapatan menerusi kegiatan penternakan itik penelur,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Promosi dan Pembangunan Perniagaan MARDI, Hassan Said berkata, pihaknya melaksanakan program Azam Tani bermula pada 2010 dengan sasaran 2,120 keluarga miskin dan miskin tegar.

Katanya, sehingga Jun lalu, MARDI melaksanakan projek Azam Tani meliputi 2,138 keluarga miskin dan miskin tegar dan daripada jumlah itu, 1,319 keluarga iaitu 62.22 peratus keluar daripada kemiskinan di mana 42.64 peratus daripadanya meningkat pendapatan RM500 hingga RM2,000 sebulan.

“Seramai 21 keluarga berubah daripada miskin dan miskin tegar menjadi golongan berpendapatan tinggi iaitu melebihi RM8,000 dan peratusan peserta berjaya dijangka meningkat apabila mereka khasnya peserta baru 2015 dan 2016 ini mendapat peralatan bantuan dan mula melaksanakan projek masing-masing.

“Bagi Kelantan, MARDI mula melaksanakan projek Azam Tani pada tahun 2012 dan jumlah peserta dibantu sehingga kini 508 isi rumah melebihi sasaran ditetapkan iaitu 495 isi rumah dan jajahan terbabit adalah Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Tumpat dan Machang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2016 @ 10:07 AM