CHONG bersama kereta curi yang dirampas.
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Parkir kereta curi di bahu jalan. Itu taktik digunakan Geng Jaya yang terbabit dengan jenayah curi kereta di sekitar ibu negara, Selangor dan Negeri Sembilan sejak lima tahun lalu.

Bagaimanapun, taktik itu terbongkar selepas lima lelaki ahli geng terbabit berusia 19 tahun hingga 40 tahun termasuk dalangnya dikenali sebagai Jaya, 39, ditahan di sekitar Cheras, 30 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, taktik Geng Jaya ialah memarkir kereta curi di tepi jalan terpencil bagi mengelak dikesan pihak berkuasa sebelum kenderaan terbabit dijual.

“Penjenayah membawa pembeli ke lokasi kereta curi diparkir, ia kemudian dijual pada harga RM500 hingga RM2,000, bergantung kepada model kenderaan berkenaan.

“Selain menjual kereta, penjenayah turut menjual komponen kenderaan berdasarkan permintaan pelanggan. Kebanyakan kereta yang dicuri model keluaran tempatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, semalam.

Selain curi kenderaan, Geng Jaya turut terbabit dengan ragut, samun, mengedar dadah dan memalsukan dokumen pendaftaran kenderaan membabitkan cukai jalan dan geran kereta.

“Berdasarkan rekod, Geng Jaya aktif di sekitar Cheras dan Brickfields selain Kajang, Serdang dan Subang Jaya, Selangor serta Seremban, Negeri Sembilan. Penahanan kelima-lima suspek membolehkan kami menyelesaikan 19 kes didalangi mereka,” katanya.

Antara barangan dirampas daripada suspek ialah 10 kereta pelbagai model termasuk Proton Perdana dan Mercedes-Benz, peralatan digunakan untuk mencuri kereta, kad pengenalan individu lain, dua bungkus dadah jenis syabu serta ganja selain wang palsu RM500.

“Tiga daripada suspek memiliki rekod jenayah lampau membabitkan samun dan curi kenderaan selain positif ganja.

“Mereka direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan, Seksyen 395/397, Seksyen 379 dan Seksyen 489 kanun sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2016 @ 10:01 AM