PENCARUM masih boleh mengeluarkan simpanan pada umur 55 tahun.

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bermula 1 Januari 2017, Akaun Emas akan diwujudkan sebagai simpanan persaraan kedua untuk ahli berusia 55 tahun dan ke atas.

Akaun Emas adalah satu inisiatif di bawah penambahbaikan skim KWSP yang terkandung dalam Akta KWSP 1991 di mana semua caruman baru yang diterima selepas umur 55 tahun secara automatik dimasukkan ke dalam Akaun Emas dan hanya boleh dikeluarkan apabila ahli berumur 60 tahun.

Skim ini diwujudkan bagi memastikan pencarum mempunyai simpanan persaraan mencukupi apabila mencapai usia 60 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, pada Rundingan Ahli yang dijalankan April tahun lalu, pihaknya mencadangkan beberapa inisiatif penambahbaikan ke atas skim semasa dan yang paling utama adalah mewujudkan Akaun Emas.

“Memandangkan purata rakyat Malaysia kini bekerja selepas umur 55 tahun dan umur persaraan minimum 60 tahun, KWSP memutuskan untuk menyediakan dana persaraan kedua, iaitu Akaun Emas, untuk memelihara simpanan ahli dari umur 55 ke 60 tahun.

“Penambahan simpanan dalam jangkamasa lima tahun ini akan memberi manfaat kepada ahli apabila mereka bersara kelak,” katanya.

Menurutnya, KWSP memberi jaminan pengeluaran caruman pada umur 55 tahun adalah kekal dan ahli berumur 55 tahun ke atas masih boleh membuat pengeluaran ke atas baki simpanan.

“Akaun Emas tidak menjejaskan skim semasa kerana ahli diberi pilihan untuk membuat pengeluaran penuh atau sebahagian apabila mencapai umur 55 tahun.

“Ia bermakna, pencarum yang berusia lebih 55 tahun akan mempunyai dua akaun dengan kedua-duanya akan menerima dividen yang sama.

“Simpanan dalam akaun semasa yang boleh dikeluarkan ketika usia 55 tahun atau digelar Akaun 55 masih boleh dikeluarkan pada bila-bila masa manakala, simpanan dalam Akaun Emas tidak boleh dikeluarkan sehingga usia 60 tahun,” katanya.

Selain inisiatif Akaun Emas dan Akaun 55, KWSP juga melanjutkan had pengkreditan dividen dari umur 75 tahun sehingga 100 tahun.

Langkah ini diambil bagi memberi manfaat kepada ahli yang ingin mengekalkan sebahagian simpanan mereka dengan KWSP serta mendapat faedah dari kesan berganda (compounding effect) melalui penerimaan dividen sehingga pengeluaran penuh dibuat.

Lanjutan keputusan Rundingan Ahli tahun lalu, sebanyak 94 peratus responden bersetuju agar KWSP mengekalkan Pengeluaran Umur 55 Tahun dan caruman baru dari umur 55 hingga 60 disimpan sehingga umur 60 tahun dalam Akaun Emas.

Inisiatif baru ini juga membabitkan penambahbaikan untuk pengkreditan dividen dan simpanan tidak dituntut di mana ahli masih boleh terus menikmati dividen sehingga usia 100 tahun.

“Rundingan yang dijalankan menyaksikan 61 peratus responden bersetuju agar bayaran dividen dilanjutkan dari umur 75 ke 100 tahun.

“Malah, dividen akan terus dikreditkan ke akaun ahli sehingga simpanan itu dipindahkan ke Pendaftar Wang Tak Dituntut selepas 100 tahun,” katanya.

Untuk aspek penamaan, KWSP menetapkan bayaran pendahuluan Pengeluaran Kematian dinaikkan dari RM20,000 ke RM25,000 bergantung kepada baki simpanan ahli.

“Untuk proses penamaan, saksi tidak lagi diperlukan untuk tujuan ini.

“Bagi ahli beragama Islam, peranan pentadbir (wasi) diperjelas dalam borang penamaan dan ia terbatal sekiranya permohonan pengeluaran tidak dibuat dalam tempoh setahun dari tarikh kematian ahli.

“Manakala, untuk penama bawah umur, tanggungjawab sebagai pentadbir hanya berkuat kuasa selepas mencapai umur 18 tahun,” katanya.

Beberapa inisiatif lain juga diperkenalkan ke atas skim dan polisi KWSP seperti peningkatan kuantum Simpanan Asas, pengeluaran prapersaraan untuk ahli bukan warganegara dan penambahbaikan ke atas polisi pengurusan.

Semua inisiatif ini akan bermula pada 1 Januari 2017.

Untuk maklumat berkenaan inisiatif penambahbaikan ini, ahli boleh merujuk laman mikro Penambahbaikan Skim dan Polisi KWSP melalui www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di 03-89226000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2016 @ 9:15 AM