Kenderaan diletakkan di tepi jalan yang menghalang lalu lintas ditunda.
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


Serdang: Langsung tidak menghormati undang-undang negara ini. Itu gambaran terhadap tindakan 20 warga asing yang dikesan memandu kereta dan menunggang motosikal tanpa lesen sah.

Semua mereka diberkas polis dalam operasi Ops Zero Tolerance Policing yang dijalankan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang sejak minggu lalu.

Dalam operasi diketuai Asisten Superintendan Nurakmal Firdauz Ahmad itu, polis menahan pemandu warga asing Bangladesh, Nepal dan Myanmar kerana tidak memiliki lesen selain tidak memakai tali pinggang keledar serta menggunakan telefon pintar ketika memandu.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, sebanyak 731 saman dikeluarkan sepanjang operasi bermula sejak Rabu minggu lalu.

Malah, menurutnya, sembilan kenderaan turut ditunda di Jalan Kenari, Puchong, di sini, atas kesalahan membuat halangan meletak kenderaan.

“Kami mengesan beberapa kesalahan yang kerap dilakukan pengguna jalan raya membabitkan tiada lesen memandu, tidak memakai tali pinggang dan topi keledar, menggunakan telefon bimbit serta halangan meletak kenderaan.

“Dalam ops yang dijalankan di Bandar Puteri, Jalan Putra Permai, Equine Park dan Puchong Jaya di sini, semalam, sebanyak 16 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan,” katanya.

Menurutnya, operasi turut dilakukan di Taman Kinrara 4, Jalan Klang Lama, Lebuhraya Besraya, Plaza Tol Sungai Besi dan Lebuhraya Bukit Jalil di sini.

Megat berkata, operasi memberi tumpuan khusus terhadap penunggang motosikal yang menjadi penyumbang terbesar kes kemalangan maut direkodkan di negara ini.

“Pelaksanaan operasi ini adalah penting bagi mendidik pengguna jalan raya mematuhi peraturan terutama di kalangan penunggang motosikal yang terdedah dengan risiko terbabit dalam kemalangan.

“Ini adalah antara langkah mengurangkan kadar kemalangan tinggi membabitkan penunggang motosikal, selain membantu mengesan penjenayah dikehendaki pihak polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2016 @ 9:34 AM