YAP menjual sotong katak kepada pelanggan di kedainya di Jeti Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah.
Hassan Omar
am@hmetro.com.my

Alor Gajah: Ribut monsun barat daya atau lebih popular dengan panggilan ribut barat sejak kelmarin, menggembirakan nelayan di perairan Melaka berikutan turut membawa bersama sotong katak ke pesisir pantai, sekali gus menambah pendapatan mereka.

Nelayan juga percaya setiap kali musim ribut barat antara Oktober hingga Disember, sotong katak lebih gemar bermain di kawasan pesisir pantai, sekali gus membolehkan mereka menangkap hidupan laut itu dalam jumlah yang banyak.

Pemilik bot ikan yang hanya mahu dikenali sebagai Yap berusia 60-an berkata, setiap kali musim ribut barat tiba, dia pasti akan mendaratkan lebih banyak sotong katak setiap hari.

“Saya dibantu tekong mengemudikan bot ke kawasan pesisir pantai untuk memasang bubu dan kami tidak menggunakan jaring kerana saiz hidupan itu yang kecil menyebabkan sotong katak sukar tersangkut pada jaring.

“Sotong jenis ini diberi gelaran sotong katak kerana bentuknya yang bulat dan pendek berbanding spesies sama,” katanya di gerai menjual ikan yang diusahakan berhampiran Jeti Nelayan Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, di sini, semalam.

Yap berkata, dia menjual sotong berkenaan pada harga RM15 satu kilogram (kg) dengan majoriti pelanggan singgah ke gerainya terdiri daripada penduduk yang tinggal di sekitar Kuala Sungai Baru.

Katanya, berbanding sotong biasa, isi sotong katak lebih tebal dan memerlukan masa lebih lama untuk dimasak supaya lebih lembut dan mudah dikunyah.

Sementara itu, tekong bot Yap yang hanya mahu dikenali sebagai Lim berkata, dia meletakkan isi ikan sebagai umpan di dalam bubu yang dipasang bagi menarik perhatian sotong katak.

“Sejak musim ribut barat bermula, saya boleh mengumpul sehingga
10kg sotong katak daripada lima bubu, berbanding hanya satu hingga tiga kg sahaja pada musim biasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 9:07 AM