PENGANGGUR yang ditahan bersama dua anaknya ketika melepaskan gian di Kampung Binjai, semalam.
myMetro

Jitra: Seorang bapa tergamak membawa dua anaknya yang berusia tiga dan empat tahun ke port dadah, di Kampung Binjai, Mukim Jeram, dekat sini, semata-mata mahu melepaskan gian sebelum dicekup Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kubang Pasu, semalam.

Penganggur berusia 37 tahun itu membawa anak lelaki dan perempuannya itu setiap hari selepas menghantar isterinya berusia 30-an menjual nasi lemak di kawasan berhampiran.

Ketua Unit Risikan, Operasi dan Siasatan AADK Kubang Pasu Mohd Shafieq Ismail berkata, lelaki itu berbuat demkian untuk mengelak ditahan lama disebabkan anak bongsunya menyusu badan.

Beliau berkata, lelaki itu baru dua bulan berpindah dari Kelantan ke negeri itu dan siasatan mendapati, dia mempunyai rekod jenayah berkaitan kes polis dan mahu memulakan hidup baru di sini.

“Bagaimanapun, tindakannya mengundang padah apabila ditahan dan hasil pemeriksaan menemui jarum suntikan yang digunakan bagi tujuan itu.

“Dia dipercayai mengambil morfin dan sudah lama terjebak dengan penagihan dadah.

“Ini kali pertama dia ditahan bersama 40 penagih lain di kawasan itu,” katanya di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 8:44 AM