TERTUDUH (kiri dan atas) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Kulai: “Sepatutnya kamu adik-beradik berbincang dengan lebih matang dalam isu bayaran bil (air), bukan isu besar pun yang perlu kamu menggunakan keganasan. Mahkamah ingin ingatkan, (bahawa) keganasan bukan caranya,” kata Majistret Ahmad Farid Ahmad Kamal.

Ahmad Farid berkata demikian sebelum menjatuhkan hukuman denda RM5,000 masing-masing terhadap dua beradik selepas mereka mengaku bersalah atas tuduhan menyerang dan mencederakan wakil kakitangan SAJ Holdings Sdn Bhd (SAJ), minggu lalu.

Pada masa sama, beliau turut mengharapkan kedua-dua tertuduh, Youzairy Ya’acob, 36, dan adiknya Mohd Youzaimeer, 29, insaf selepas tujuh hari ditahan reman di dalam lokap.

Youzairy yang didakwa mengikut Seksyen 351 Kanun Keseksaan dijatuhi hukuman denda RM1,000 atau tiga bulan penjara bagi pertuduhan menyerang Muhammad Khairuzzaman Yaakub, 30, menggunakan sebatang cangkul.

Bapa kepada dua anak itu turut didenda RM2,000 atau empat bulan penjara bagi pertuduhan kedua iaitu sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Asyraf Abd Ghani, 20.

Selain itu, Youzairy dan Mohd Youzaimeer turut didenda RM2,000 atau empat bulan penjara setiap seorang selepas mereka mengaku bersalah bagi tuduhan bersama-sama menyebabkan kecederaan Muhammad Khairuzzaman.

Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang turut dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Sementara Mohd Youzaimeer turut didenda RM3,000 atau empat bulan penjara bagi pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Asyraf dengan menggunakan topi keledar mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Semua kesalahan itu dilakukan kedua-dua tertuduh di M-231-1, Kampung Melayu, di sini, kira-kira jam 11.45 pagi, 18 Oktober lalu.

Ketika rayuan meringankan hukuman, kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Haniza Yazed berkata, Youzairy kini tidak bekerja selepas dihentikan perkhidmatan akibat insiden yang berlaku.

“Dia mempunyai dua anak dan isterinya berkerja sebagai pembantu kedai makan. Sebelum ini dia mempunyai pendapatan RM1,600 sebulan, namun kini sudah tidak bekerja kerana diberhentikan oleh majikan. Mohd Youzaimeer pula belum berkahwin dan belum bekerja,” katanya.

Haniza berkata, tertuduh berasal daripada keluarga yang tidak berkemampuan dengan kedua ibu bapanya masing-masing sudah berusia 63 dan 71 tahun.

“Mengenai kejadian itu, tertuduh insaf dengan perbuatan mereka, namun apa yang menyebabkan kedua-duanya hilang sabar apabila tindakan memotong bekalan air itu membabitkan rumah kedua ibu bapa mereka yang tidak mampu membayar bil air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2016 @ 9:42 AM