Suspek tidur dalam kereta yang dicuri di stesen minyak Puchong Prima.
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my

Subang Jaya: Seorang penjenayah curi kenderaan mudah ditangkap polis selepas dikesan tidur ‘mati’ kepenatan di dalam sebuah kereta dicuri.

Suspek lelaki berusia 30-an itu ditemui polis dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah kereta yang diletakkan di hadapan sebuah stesen minyak berhampiran Puchong Prima, sini, jam 8.45 pagi kelmarin.

Suspek ditahan selepas pemeriksaan dilakukan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang mendapati kereta model Perodua Myvi itu menggunakan plat nombor palsu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, pemeriksaan awal terhadap kereta berkenaan menemui seorang lelaki sedang lena tidur di bahagian tempat duduk pemandu.

“Anggota polis kemudian menahan suspek selepas mendapati kereta dinaiki menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Semakan terhadap nombor casis mendapati kereta berkenaan dilaporkan hilang dicuri pada 16 Jun 2015 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, pemeriksaan dilakukan terhadap suspek tidak menemui barangan yang menyalahi undang-undang,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, di sini, semalam.

Menurutnya, suspek berkenaan kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2016 @ 10:08 AM