ADIHAS
MAJLIS pengebumian Adihas yang meninggal dunia ketika menyertai program berbasikal, kelmarin.
Nadzreen Shah Mat Salim
am@hmetro.com.my

Rawang: “Saya sempat berbisik memintanya mengingati Allah SWT serta mengucap dua kalimah syahadah. Itu yang saya lakukan sejurus anak saya (Adihas) tidak sedarkan diri ketika menyertai pertandingan perlumbaan basikal Twitter International Jamborece 2016,” kata Seriyanti Md Din, 59.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi kelmarin, anaknya, Adihas Zainal Abidin, 40, meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh akibat serangan sakit jantung ketika menyertai pertandingan yang diadakan di Saujana Utama, Sungai Buloh.

Seriyanti berkata, dia turut menyertai pertandingan itu bersama ahli kumpulan penunggang basikal lain.

Menurutnya, arwah anaknya mengalami sakit di bahagian dada mendadak ketika mengayuh sebelum berhenti rehat selama beberapa minit.

“Pada masa sama Adihas sempat menyuruh ahli pasukannya meneruskan kayuhan. Dalam keadaan kesakitan, arwah menyambung kayuhan tidak lama kemudian.

“Dia sekali lagi berhenti rehat kali kedua sebelum duduk dan pengsan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Tasik Puteri, di sini, semalam.

Seriyanti berkata, dia segera mendapatkan anaknya yang tidak sedarkan diri dan pasukan paramedik turut memberi bantuan kecemasan kepadanya.

“Saya terus memegang tangan Adihas dan berbisik padanya supaya mengucapkan dua kalimah syahadah.

“Kami terpaksa mengeluarkan dia dari kawasan perlumbaan sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh menaiki ambulans,” katanya.

Menurutnya, Adihas yang mempunyai seorang anak lelaki berusia 14 tahun bagaimanapun menghembuskan nafas terakhir di hospital itu.

Dia berkata, arwah memang seorang yang aktif dalam bersukan dan tidak pernah mengalami masalah kesihatan sebelum ini.

Difahamkan, ibu arwah menyertai pertandingan itu pada saat akhir bagi menggantikan salah seorang daripada ahli kumpulan yang menarik diri.

“Pada mulanya saya tidak dapat menyertai disebabkan faktor kesihatan namun entah bagaimana saya menawarkan diri untuk menyertai pertandingan itu.

“Mungkin sudah suratan takdir untuk saya berkayuh bersama arwah buat kali terakhir,” katanya.

Sementara itu, bapa arwah, Kapten (B) Zainal Abidin Nayan, 66, berkata, arwah anaknya sempat singgah ke rumah dan solat subuh berjemaah dengan mereka sekeluarga sebelum menyertai pertandingan itu.

“Kebiasaannya, arwah akan terus ke lokasi acara dan berjumpa di sana beramai-ramai,” katanya.

Zainal Abidin yang juga Presiden Kelab Berbasikal Ya’afur (YCC) berkata, laluan di acara itu tidak begitu sukar dan arwah anaknya pernah menyertai pertandingan yang lebih mencabar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2016 @ 9:19 AM