ANTARA rumah yang dibaik pulih.
MOHD Haslin menurunkan tandatangan sempena Majlis Perasmian Program Baik Pulih Rumah Asnaf Daerah Sepang.
Ayusliza Azizan
hmetroshahalam@hmetro.com.my


Sepang: Akibat keadaan bumbung sudah uzur dan berlubang, mereka sekeluarga yang dulunya terpaksa menadah air apabila hujan kini boleh menarik nafas lega selepas menerima bantuan daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Ini disebabkan PKNS melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menghulurkan bantuan membaik pulih 20 rumah asnaf di sekitar daerah Sepang membabitkan kos RM600,000.

Penerima bantuan, Mohamad Zaril Misrun, 36, berkata, dia bersyukur rumahnya dibaiki dan kini boleh tinggal dengan selesa apatah lagi bapa mentuanya yang uzur tinggal bersama.

“Selepas berkahwin pada 2008 dan saya dan isteri tinggal di rumah bapa mentua, namun keadaan rumah teruk dan dengan pendapatan RM1,100 sebulan sebelum ini sebagai pekerja kilang membolehkan saya membaiki kerosakan.

“Keadaan bumbung bertambah teruk apabila monyet di kawasan berdekatan merosakkannya. Keadaan menjadi lebih buruk apabila kerja baik pulih bilik air terhenti selepas saya diberhentikan kerja kerana kilang menghentikan operasi sebulan lalu,” katanya.

Mohamad Zaril berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian Program Baik Pulih Rumah Asnaf Daerah Sepang di Kampung Hulu Teris, Sepang, di sini, kelmarin.

Kerja-kerja baik pulih rumah lelaki berkenaan membabitkan penggantian bumbung, mengecat serta membaik pulih bilik air dengan kos RM30,000.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Pengurus Besar PKNS Noraida Mohd Yusuf.

Majlis dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Sepat Ir Mohd Haslin Hassan.

Sementara itu, isteri Mohamad Zaril, Maslinda Kasmin, 35, berkata dia sangat gembira atas keprihatinan PKNS bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk kampung sepertinya.

“Saya dan suami bersama tiga anak berusia dari lima bulan hingga enam tahun kini dapat tinggal di rumah dalam keadaan selesa tanpa perlu risau terutama ketika hujan,” katanya.

Sementara itu, Noraida berkata, semua 20 rumah asnaf yang menerima bantuan baik pulih membabitkan sembilan kariah di Sepang iaitu Kampung Hulu Teris, Kampung Labu Lanjut, Kampung Salak Tinggi, Kampung Jenderam Hilir, Kampung Sungai Buah, Kampung Bukit Bangkong, Kampung Chuchoh, Kampung Ahmad Razali dan Dengkil.

Menurutnya, pihaknya menjangkakan kerja baik pulih rumah asnaf siap dalam masa terdekat dengan kos baik pulih setiap unit rumah RM30,000.

“Sejak 2012, PKNS memberi bantuan kepada 70 unit rumah di Selangor untuk kerja baik pulih membabitkan kos RM1.5 juta daripada peruntukan wang zakat PKNS.

“Kami berharap melalui bantuan itu, ia memberi sinar baru kepada penerima bantuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2016 @ 5:15 AM