Ipoh: Penjenayah berbahaya yang terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah termasuk dadah, curi kenderaan, pecah rumah, selain ugutan dengan senjata api, ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan dengan polis di Jalan Persiaran Lembah Perpaduan, Tambun, di sini, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.01 tengah malam, seorang anggota polis turut terkena tembakan yang dilepaskan penjenayah terbabit, namun terselamat kerana peluru mengenai baju kalis peluru yang dipakai anggota polis berusia 42 tahun itu.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata, insiden berbalas tembakan itu berlaku ketika sepasukan polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah di sekitar bandar raya berkenaan terserempak dengan sebuah kereta Toyota Vios warna kelabu di Jalan Besar Tanjung Rambutan, di sini, yang dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, pasukan polis kemudian bertindak cuba menahan kereta berkenaan, namun pemandunya terus memecut ke arah Kondominium The Heaven, di sini, dan dikejar polis.

“Apabila tiba di Jalan Persiaran Lembah Perpaduan, kereta suspek terbabas ke bahu kiri jalan.

“Polis cuba menghampiri kereta berkenaan, tetapi tiba-tiba pemandu kereta keluar dan melepaskan dua das tembakan yang satu daripadanya terkena seorang anggota polis,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, semalam.

Menurutnya, anggota polis berpangkat Sarjan berusia 42 tahun dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) IPK Perak, itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan kerana peluru terkena di bahagian kanan perut pada baju kalis peluru dipakainya.

Hasnan berkata, dalam usaha mempertahankan diri, polis membalas beberapa das tembakan mengenai suspek yang kemudian rebah dan mati di lokasi kejadian.

“Pemeriksaan mendapati suspek berusia 35 tahun dan berasal dari Perak itu memiliki sembilan rekod jenayah lampau iaitu dadah, curi kenderaan dan pecah rumah.

“Suspek juga dikehendaki bersabit satu kes dadah dan pernah enam kali ditangkap dalam tempoh dua tahun yang lalu atas pelbagai kesalahan jenayah termasuk ugutan dengan senjata api dan ditahan pada 10 Februari lalu,” katanya.

Beliau berkata, kes ugutan dengan senjata api itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan polis turut berjaya merampas sepucuk pistol bersama 30 peluru hidup, pedang dan buku lima dalam kes itu.

“Dalam insiden yang berlaku tengah malam tadi (semalam) polis merampas kereta Toyota Vios dinaiki suspek yang semakan mendapati nombor pendaftaran dan nombor casis tidak sama dipercayai kereta diklon, sepucuk pistol buatan China, empat peluru hidup dan pisau,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2016 @ 5:45 AM
HASNAN (dua dari kanan) menunjukkan pistol yang dirampas dan jaket kalis peluru pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.