YUSNIDAH bersama dua anak saudaranya, Nur Firuza Amira (kanan) dan Nur Firuza Aqila.
Fardy Bungga
fardy@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: “Saya cuma ada baju ayah dan adik, baju mak tiada. Rindu tapi saya dah tak sedih,” kata Nur Firuza Amira, lapan tahun, yang kehilangan ibu bapa dan adik dalam tragedi kemalangan ngeri di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), tahun lalu.

Nahas yang berlaku Mei 2015 itu mengorbankan ibu bapa dua beradik itu, Fairuz Nizam Husain, 35, Nova Safitri Azhari, 27, dan adik mereka yang berusia tujuh bulan, Nur Firuza Annisa.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, kenderaan utiliti sukan (SUV) Pajero Sport yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan dua kereta Perodua Myvi sebelum berpusing dan terbalik.

Amira yang ditemui semalam berkata, dia dan adiknya, Nur Firuza Aqila, lima tahun, gembira tinggal bersama ibu saudara, Yusnidah Husain, 48, yang kini dipanggil ‘mama’.

Katanya, mereka sering dibawa menziarahi kubur ibu dan bapanya apabila berkesempatan untuk menghilangkan rasa rindu.

“Saya dah tak sedih lagi, saya suka tinggal bersama mama. Mama jaga Amira dan adik dengan baik.

“Adik pun dah tak sedih, adik cuma menangis ketika masuk ke sekolah,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, walaupun tinggal bersama ibu saudara, namun mereka langsung tidak terasa kekurangan kasih sayang dan masih merindui ibu, ayah serta adik perempuannya.

Sementara itu, Yusnidah yang juga kakak kepada arwah Fairuz Nizam bersyukur dua anak arwah adiknya, Nur Firuza Amira dan Nur Firuza Aqila, kembali pulih emosi sepanjang berada di bawah jagaannya.

“Namun timbul beberapa isu membabitkan pengurusan wang sumbangan dan hak penjagaan anak-anak terbabit sehingga perkara ini terpaksa dibawa ke mahkamah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2016 @ 8:11 AM