Imej CCTV menunjukkan seorang lelaki melarikan beg tangan jemaah wanita yang bersolat di Surau Ar-Raudhah, Saujana Impian.
Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my


Kajang: Seorang ‘toyol’ lelaki bertindak keji apabila menyelinap masuk ke sebuah surau semata-mata untuk mencuri beg tangan jemaah wanita yang sedang khusyuk bersolat.

Dalam kejadian jam 4.43 petang Selasa lalu, lelaki terbabit masuk ke kawasan Surau Ar-Raudhah Impian Makmur, Saujana Impian, bersama seorang lagi rakannya dengan menunggang sebuah motosikal.

Sumber berkata, lelaki berusia 20-an itu dikesan masuk ke dalam surau seorang diri dan terus menuju ke ruang solat wanita.

“Kebetulan terdapat dua jemaah wanita sedang menunaikan solat Asar dan salah seorang daripada mereka meletakkan beg tangan di hadapan.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di surau berkenaan, lelaki itu menyusup masuk melalui pintu belakang dan dia dilihat duduk di kerusi sementara menunggu dua jemaah wanita itu sujud,” katanya.

Sumber berkata, lelaki terbabit kemudian menghampiri mangsa yang sedang bersujud kali kedua sebelum melarikan beg tangan melalui pintu belakang.

Katanya, rakaman CCTV di surau itu mendapati lelaki terbabit masuk ke surau berkenaan pada jam 4.43 petang dan mengambil masa kurang satu minit melakukan jenayah itu.

“Sebelum keluar, lelaki itu dikesan berlari menuju ke tandas surau sebelum keluar membonceng sebuah motosikal bersama seorang lagi rakannya yang sedia menunggu di luar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2016 @ 5:46 AM