MOHAMED Azmin (dua dari kanan) meninjau kerja membaiki ban pecah di kampung Sri Keramat.
Fuad Hadinata Yaacob
hadinata@hmetro.com.my


Klang: Program turun padang Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Kampung Sri Keramat, Jalan Kapar, dekat sini, semalam bertukar menjadi sesi luahan perasaan penduduk apabila kerajaan negeri bertindak proaktif dalam menangani fenomena air pasang besar.

Penduduk Halim Baha, 38, berkata dia mahu mendapatkan penjelasan dan jaminan daripada Menteri Besar (MB) mengenai ban yang terletak tidak sampai 100 meter dari rumahnya.

Katanya, ini disebabkan pelbagai barangan dalam rumahnya rosak apabila ditenggelami air dalam kejadian air pasang besar, awal pagi semalam.

“Saya minta penjelasan MB (Mohamed Azmin) mengenai keadaan ban ini yang pecah sejak beberapa hari lalu menyebabkan air melimpah dan masuk ke rumah.

“Saya mahu tahu apa tindakan dilakukan kerajaan negeri berhubung ban ini kerana setiap kali air pasang saya dan keluarga dalam kebimbangan dan tadi (semalam) MB beritahu sedang tunggu peruntukan,” katanya yang berpindah ke Dewan Datuk Ahmad Razali, di sini, sejak kelmarin.

Penduduk lain, Ishak Hanafiah, 57, berkata, mereka rasa terkilan dan sedih dengan keadaan yang berlaku selama ini.

“Ban yang ada sudah lama dan banyak kali dibaiki apabila pecah. Apa yang menyebabkan kami terkilan kerana apabila ban pecah ia dibaiki, tetapi lepas dua hari, ia pecah semula,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM4.3 juta untuk kerjabaik pulih dan mengukuhkan ban di seluruh negeri selepas kejadian air pasang besar September lalu.

“Di Sabak Bernam kawasan terbabit ialah di Sungai Air Tawar, Tebuk Meleleh, Sungai Tengar dan Sungai Lang membabitkan kos RM1.7 juta. Manakala di Kuala Selangor kawasan terbabit antaranya Kampung Tok Adam, Bagan Pasir, Pasir Penambang dengan kos RM1.5 juta.

“Sementara itu, tiga kawasan iaitu Tok Muda, Sungai Pinang dan Sungai Serdang di Klang, selain di Kuala Langat di ban Sijangkang dengan kerja dimulakan sejak 12 Oktober lalu serta dijangka siap dua bulan dengan kos keseluruhan RM4.3 juta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2016 @ 5:43 AM