SHADAN (kiri) bersama pegawai penguat kuasanya ketika menjalankan siasatan terhadap pengusaha premis pusat perubatan Islam (dua dari kanan).

Jasin: Pengusaha pusat perubatan Islam di Taman Serkam Ria dikenakan kompaun RM500 oleh Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen serta memaparkan iklan tanpa permit.

Pemeriksaan dilakukan di rumah berkenaan jam 6 petang kelmarin diketuai sendiri Yang Dipertua MPJ Shadan Othman sebelum mendapati pemilik premis terbabit melakukan kesalahan mengikut Akta Undang-Undang Kecil MPJ.

Mengulas lanjut perkara itu, Shadan berkata, pemeriksaan di rumah yang dijadikan pusat perubatan Islam itu juga mendapati pengusahanya tidak pernah memohon lesen bagi menjalankan perniagaan.

“Kami mengesan dua kesalahan iaitu tidak memiliki lesen Tred (MPJ) 2011 dan menaikkan iklan (banner) tanpa permit. Dakwaan pengusaha terbabit bahawa menjalankan aktiviti perniagaan di rumah sendiri tidak perlu mendapatkan lesen adalah salah.

“Lelaki itu dikenakan kompaun RM250 bagi setiap kesalahan, selain turut diarahkan supaya menurunkan iklan yang digantung di rumah terbabit dengan segera,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di rumah yang dijadikan pusat rawatan Islam itu, semalam mendapati iklan sebelum ini digantung sudah diturunkan mengikut arahan dikeluarkan MPJ.

Selain itu, laman ‘blogspot’ rasmi pusat perubatan itu turut memaklumkan premis berkenaan secara rasmi ditutup dan pihak pengurusan memohon maaf kepada semua pihak hingga menggugat sensitiviti agama Islam.

Turut dinyatakan, pusat terbabit kini disiasat pelbagai agensi Bagaimanapun, blogspot terbabit tidak lagi dapat dicapai pada jam 5 petang semalam.

Harian Metro, semalam melaporkan, pasangan suami isteri yang mengendalikan pusat rawatan Islam itu akan dipanggil bertemu Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka di Pejabat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dalam masa terdekat berikutan wujud kekeliruan dalam kaedah perawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2016 @ 7:40 AM