Kemalangan membabitkan bas dan kereta di Kilometer 148, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, semalam

Prai: Dua kemalangan berlaku di lokasi sama di Kilometer 148, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di sini, semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 10.30 pagi, sebuah lori Kelab Lumba Kuda Selangor terbabas dan merempuh penghadang jalan di lokasi berkenaan, namun pemandu dan kelindan hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku disebabkan jalan licin akibat hujan.

“Ketika kejadian lori berkenaan tidak membawa sebarang muatan dan pemandu berusia 48 tahun serta kelindan berusia 45 tahun mengalami kecederaan ringan di kepala serta tangan dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya bagi mendapatkan rawatan.

“Kita masih lagi menjalankan siasatan bagi mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 4.30 petang, empat kenderaan termasuk bas membawa 33 penumpang turut terbabit dalam kemalangan di lokasi sama.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada sebuah kereta dipandu seorang lelaki menekan brek secara mengejut menyebabkan kenderaan lain gagal mengelak.

Menurutnya, ketika kejadian cuaca berkabus selain hujan menyebabkan pemandu kenderaan panik dan merempuh antara satu sama lain .

“Bas persiaran terbabit membawa penumpang dari Ipoh menuju Pulau Pinang. Semua penumpang bas persiaran berkenaan selamat manakala tiga pemandu kenderaan lain hanya cedera ringan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2016 @ 7:34 AM