Noraini (kanan) bersama lima anak tinggal di premis ternak burung walit di Jalan Padang Tembak, Kluang, semalam.

Kluang: Selepas motosikal ibu mereka dicuri, dua beradik yang tinggal di premis menternak burung walet di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Padang Tembak di sini, terpaksa ponteng sekolah sejak lebih sebulan lalu.

Ini kerana, kedudukan tempat tinggal mereka terletak jauh dari jalan utama menyebabkan ibu mereka yang juga ibu tunggal Noraini Muslim, 36, tidak dapat menghantar dan menjemput anak-anak yang bersekolah.

Noraini tinggal di bangunan ternakan burung walet itu bersama lima daripada tujuh anaknya berusia satu hingga 19 tahun.

“Selepas motosikal saya dicuri sejak lebih sebulan lalu, dua anak yang masih bersekolah terpaksa ponteng kerana ketiadaan kenderaan untuk menghantar dan mengambil mereka.

“Kesempitan hidup menyebabkan saya tidak mampu membeli motosikal baharu, bahkan tempat tinggal sekarang pun atas ihsan pemilik ladang yang kasihankan kami sekeluarga,” katanya.

Menurut Noraini, dia berpisah dengan suami pada Mei lalu masih membantunya dalam menyediakan keperluan dapur keluarga namun masih tidak mencukupi.

“Anak yang berusia 16 dan 20 tahun tinggal bersama datuk mereka di Johor Bahru kerana bersekolah dan bekerja di sana manakala anak berusia 19 tahun banyak membantu menjaga adik-adik sekiranya saya bekerja,” katanya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu.

Noraini berkata, tidak ada apa-apa yang boleh dilakukannya sekarang dan mengharap belas ihsan masyarakat membantunya keluar dari rumah yang didiami dan tinggal di tempat yang lebih baik serta selamat.

“Apa yang penting dua anak yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Batu Tiga dan Sekolah Kebangsaan Datuk Syed Zain dapat meneruskan persekolahan mereka,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pegawai Daerah Kluang Mustafa Kamal Abdullah yang membuat tinjauan ke kediaman wanita itu berkata, pihaknya akan mengusahakan bantuan dengan memindahkan keluarga berkenaan ke rumah sewa sekitar Kampung Tengah, Kluang bagi memudahkan dua anaknya itu ke sekolah sementara menanti rumah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) di Taman Bersatu siap dipasang kemudahan asas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2016 @ 7:21 AM