MOHD Fariz menahan sakit selepas tertusuk besi pagar di gelanggang sepak takraw di Taman Bandar Sunggala, Port Dickson.

Port Dickson: “Seperti biasa, apabila bola melantun keluar, saya akan memanjat pagar untuk memungutnya. Nasib kali ini tidak begitu baik apabila kaki tertusuk besi,” kata Mohd Fariz Mokhtar, 24, yang menahan kesakitan kira-kira sejam selepas kaki kanannya tertusuk besi di gelanggang sepak takraw Taman Bandar Sunggala di sini, jam 6.45 petang kelmarin.

Mohd Fariz berkata, ketika kejadian, dia bermain sepak takraw bersama rakannya.

Katanya, sebaik bola ditimang melantun keluar, dia memanjat pagar setinggi kira-kira dua meter untuk memungutnya.

“Tiba-tiba, kaki kanan tersangkut pada jeriji besi. Saya cuba menariknya, namun gagal sebelum menyedari bahagian buku lali tertusuk pada jeriji besi terbabit,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Sunggala, semalam.

Menurutnya, akibat tusukan, kaki kanannya kebas, tetapi tiada darah mengalir.

“Beberapa rakan membantu menarik kaki, tetapi gagal. Mereka kemudian menghubungi bomba.

“Walaupun anggota bomba dapat memotong besi, kaki kanan tetap kebas kerana sebahagian besi masih tertusuk di buku lali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2016 @ 5:26 AM