TENGKU Amir memasuki Balairung Seri sambil menjunjung Keris Kebesaran Duli Yang Amat Mulia Raja Muda Selangor ketika melakukan Istiadat Menjunjung Duli serta menyembahkan cenderamata kepada Sultan Sharafuddin di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang.
Fuad Hadinata Yaacob
hadinata@hmetro.com.my


Klang: Selepas tujuh hari berangkat meninggalkan Selangor pada 8 Oktober lalu, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah kembali semula ke Istana Alam Shah, di sini, semalam bagi menyempurnakan Istiadat Menjunjung Duli sempena Pemasyhuran Gelaran sebagai Raja Muda Selangor.

Tengku Amir Shah berangkat memasuki pekarangan Balairong Seri sambil menjunjung Keris Kebesaran Duli Yang Amat Mulia Raja Muda Selangor iaitu keris dianugerahkan kepada baginda oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika Istiadat Pemasyhuran, minggu lalu.

Pada Istiadat Menjunjung Duli dan Menghadap Sultan Sharafuddin, Tengku Amir Shah yang juga Raja Muda ketujuh turut membawa cenderamata dan mempersembahkannya kepada ayahanda baginda.

Sultan Sharafuddin berkenan menerima cenderamata itu disusuli kucupan tangan baginda oleh Tengku Amir Shah yang juga anakanda ketiga Sultan Selangor sambil nobat dipalu dengan memainkan lagu Anak Raja Bersiram.

Turut berangkat ke istiadat itu, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, kerabat Diraja Selangor, Orang-Orang Besar Bergelar, Orang-Orang Besar Istana dan waris.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mengetuai barisan pentadbiran negeri turut hadir bersama barisan Exco serta orang kenamaan.

Dalam ucapannya, Mohamed Azmin menyampaikan ucapan tahniah daripada kerajaan negeri dan rakyat Selangor sempena pemasyhuran gelaran Tengku Amir Shah sebagai Raja Muda Selangor.

Beliau menyatakan rasa kagum dengan keperibadian Raja Muda yang cekal menjalani latihan lasak ketenteraan di Akademi Ketenteraan Diraja Sandhurst, United Kingdom (UK) selain mencemar duli dengan mendampingi rakyat dalam pelbagai acara termasuk Ihya Ramadan.

Mohamed Azmin juga menyatakan ikrar mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan kerana ia payung kestabilan dan kemakmuran Selangor untuk kekal sebagai negeri maju yang prihatin terhadap nasib rakyat.

Istiadat itu disusuli ucapan sembah kerabat oleh Tengku Indera Setia Selangor Tengku Ahmad Shah yang mewakili waris dan kerabat Diraja Selangor.

Tengku Ahmad Shah turut memuji dan berbangga di atas pencapaian Tengku Amir Shah.

“Seri Paduka Anakanda berjaya menamatkan pengajian di Akademi Ketenteraan Diraja Sandhurst, UK serta ditauliahkan sebagai Pegawai Tentera di Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

“Seri Paduka Anakanda juga menjalankan kewajipan sebagai Putera Raja berjiwa rakyat apabila turut menyertai acara bersama rakyat serta membantu golongan kurang berkemampuan.

“Ini secara tidak langsung mempamerkan contoh dan ketokohan terbaik dalam menjadikan Seri Paduka Anakanda sebagai Raja Muda dihormati dan disanjungi rakyat jelata,” titahnya.

Tengku Ahmad Shah turut berkeyakinan pengalaman, kebolehan dan dedikasi kepemimpinan dimiliki Tengku Amir Shah memberi kekuatan untuk baginda menjalankan tugas sebagai Raja Muda.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid membacakan doa sejurus Istiadat Menjunjung Duli selesai.

Selesai istiadat, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin berangkat dari Balairong Seri bersama Raja Muda Selangor.

Tengku Amir Shah diputerakan pada 12 Disember 1990 di San Francisco, Amerika Syarikat hasil perkahwinan Sultan Sharafuddin dengan Puan Nur Lisa Idris.

Baginda turut mempunyai dua kekanda iaitu Tengku Zerafina dan Tengku Zatashah.

Tengku Amir Shah mendapat pendidikan awal dan menengah di Alice Smith School, Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pendidikan di Wellington College, UK pada 2004 hingga selesai peringkat A Level pada 2009.

Baginda kemudian melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekologi dan Biologi Alam Sekitar di Leeds University, UK.

Selepas tamat pendidikan, Tengku Amir Shah menjalani kursus persediaan ketenteraan di Akademi Tentera Darat (ATD) di Port Dickson, Negeri Sembilan sebelum mendaftar diri di Akademi Ketenteraan Diraja Sandhurst, UK dan menamatkan latihan dengan cemerlang pada 15 April lalu.

Baginda kini pegawai tentera berpangkat Leftenan Muda di Batalion ke-17, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang ditauliahkan kepada baginda 19 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2016 @ 5:21 AM