ORANGUTAN
Asmah Rusman dan Siti Farahiyah Aziz
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Gajah Malaya, harimau belang (Malayan Tiger), Malayan Tapir, Orang Utan Borneo dan Beruang Matahari (Malayan Sunbear), lima spesies tempatan yang dikategorikan sebagai haiwan berprofil tinggi di Zoo Negara dan antara spesies yang sukar dibiakkan kerana faktor tertentu.

Lima spesies yang tergolong dalam kategori haiwan terancam itu memerlukan tahap pemantauan yang rapi dan kajian khusus daripada kumpulan pakar.

Pengarah Zoologi dan Veterinar Zoo Negara Dr Mat Naim Ramli berkata, meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran dan kesukaran, namun pihaknya tidak pernah berhenti berusaha membiakkan spesies berkenaan supaya dapat melahirkan baka baru untuk memastikan kelangsungan spesies itu.

“Setiap haiwan mempunyai hormon dan tahap kesihatan yang berbeza bagi memastikan mereka benar-benar bersedia untuk bunting, di samping faktor keserasian pasangan dan tempoh masa tertentu untuk mengawan.

“Semua proses itu memerlukan pemerhatian dan kajian terperinci terhadap spesies berkenaan dan tidak boleh dilepaskan dalam satu kawasan sewenang-wenangnya kerana kebanyakan haiwan itu perlu ruang sendiri untuk hidup normal dan membesar,” katanya.

Menurut beliau, pembiakan Gajah Malaya berdepan dengan masalah dan setakat ini hanya seekor saja dapat dilahirkan dalam tempoh 10 tahun dan keadaan itu menyebabkan ia tersenarai sebagai satu daripada spesies berprofil tinggi.

“Pembiakan gajah berdepan dengan masalah kerana tahap kesihatan gajah betina tidak mengizinkan, malah seekor daripada gajah betina dikesan berdepan dengan sistem peranakan iaitu mempunyai masalah fibroid.

“Selain itu, tahap kesuburannya diukur pada usia haiwan berkenaan sama ada ia mampu melahirkan anak atau sebaliknya.

“Berbeza dengan haiwan lain, pihak zoo akan melakukan pertukaran antara zoo dalam dan luar negara bagi membolehkan sesuatu spesies yang berprofil tinggi dapat dipamerkan kepada khalayak ramai, di samping meneruskan proses pembiakannya,” katanya.

Katanya, Beruang Matahari (Malayan Sunbear) antara spesies yang masih gagal dibiakkan dan faktor itu kemungkinan haiwan berkenaan tidak mendapat pasangan yang sesuai untuk mengawan.

“Pembiakan haiwan memerlukan tenaga pakar dan kos yang tinggi yang dapat memberi tumpuan dan kajian terperinci terhadap spesies berkenaan, malah mereka juga akan menentukan kesesuaian pasangan haiwan berkenaan.

Menurutnya, pada masa kini Malaysia tidak mempunyai program pembiakan khusus yang setanding dengan negara Eropah mahupun China yang berjaya membiakkan spesies Panda Gergasi.

“Kami banyak mengharapkan kajian yang dijalankan pihak universiti awam bagi membiakkan spesies haiwan terancam ini selain pertukaran maklumat daripada kumpulan saintis yang berminat menjalankan kajian di sini,” katanya.

Mat Naim berkata, burung antara spesies yang paling berjaya dibiakkan dan dilepaskan semula ke habitat asal tetapi ia di bawah pemantauan World Wildlife Funds (WWF).

“Situasi ini berbeza dengan haiwan dalam kategori mamalia seperti harimau, beruang dan orang utan memerlukan kandang berasingan setiap seekor dan tidak boleh dilepaskan ke habitat asal kerana sudah kehilangan keupayaan serta kebolehan untuk memburu atau meneruskan kelangsungan hidup kerana tidak dilatih sejak awal.

“Sekiranya haiwan ini dilepaskan ke habitat asal, kebarangkalian untuk hidup dan masa depannya tidak dapat diketahui, malah tidak mustahil ia akan mati.

“Tambahan pula, masalah pemburu haram dan penerokaan hutan menjadi punca haiwan ini kehilangan sumber makanan yang mencukupi bagi meneruskan hidup,” katanya.

Beliau berkata, proses pembiakan juga dilakukan secara terkawal apabila ia tidak tertumpu kepada haiwan terancam saja sebaliknya membabitkan spesies lain seperti burung dan buaya yang mana dilakukan mengikut keperluan dan permintaan daripada zoo lain.

“Setakat ini pembiakan dilakukan Zoo Negara bukan bertujuan komersial tetapi lebih kepada kelangsungan hidup spesies haiwan itu sendiri,” katanya.

Katanya, antara pembiakan paling berjaya dilakukan di Zoo Negara membabitkan haiwan seperti Orang Utan Sumatera, Badak Air dan Kuda Belang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2016 @ 5:19 AM