NIK Mastura bersama mesin pembuat kuih yang diterimanya dalam program Azam Tani di PPK Sungai Ketereh.

Kota Bharu: “Saya bersyukur kerana ada pihak sudi bantu ubah nasib saya sekeluarga,” kata ibu tunggal Nik Mastura Yahya, 46 salah seorang daripada 50 peserta Azam Tani yang terpilih di negeri ini.

Dalam Majlis Perasmian Azam Tani di Pertubuhan Peladang Kawasan Sungai Ketereh, Ketereh, di sini, kelmarin, Nik Mastura menerima pelbagai mesin membuat kek dan biskut termasuk ketuhar, penyejuk beku makan dan mesin pengacau.

Majlis dirasmikan Pengerusi KADA, Datuk Md Alwi Che Ahmad.

Nik Mastura berkata, disebabkan desakan hidup, dia memohon mengikuti program Azam Tani yang dilaksanakan Kementerian Pertanian melalui Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

“Saya bersyukur terpilih menyertai program ini yang beri banyak manfaat untuk kami mengubah nasib,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini, dia membuat kuih dan biskut secara kecil-kecilan sebelum dihantar ke kedai untuk dijual bagi menyara empat anaknya.

“Dengan peralatan terhad, saya hanya mampu buat kuih dan biskut dua atau tiga kilogram (kg) sehari,” katanya.

Sementara itu, Md Alwi berkata, pada tahun ini, kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM1 juta untuk peserta Azam Tani di negeri itu.

Katanya, sehingga hari ini, RM500,000 diberikan kepada 50 peserta dalam bentuk peralatan, mesin dan kenderaan untuk kegunaan mereka mencari rezeki.

“Program yang cara terbaik dilaksanakan kerajaan dalam mengubah nasib miskin tegar yang berdaftar dengan E-Kasih.

“Kita harap tahun hadapan, kerajaan Persekutuan menambah peruntukan kepada program ini kerana ramai orang miskin tegar terbukti berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2016 @ 9:44 AM