ORANG ramai membantu mengalihkan kenderaan yang menghimpit mangsa.
myMetro

Bintulu: Seorang wanita parah akibat tersepit di antara tiang konkrit bangunan kedai dengan pacuan empat roda Mitsubishi Triton dalam kemalangan di Jalan Queen Inn, Jalan Pasar Lama, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa berusia 30 tahun yang juga pekerja restoran di kawasan itu dirempuh kenderaan dipandu seorang wanita berusia 42 tahun ketika melayan pelanggan restoran.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Deputi Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, ketika kejadian mangsa membersihkan lantai restoran sebelum Mitsubishi Triton itu merempuhnya.

Menurutnya, rempuhan itu berlaku apabila Mitsubishi Triton hilang kawalan selepas dirempuh dari belakang oleh kenderaan Toyota Wish yang dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun.

“Akibat rempuhan, pemandu Mitsubishi Triton tidak dapat mengawal kenderaannya dan secara tidak sengaja merempuh mangsa di lokasi itu.

“Mangsa bernasib baik kemalangan itu tidak meragut nyawanya, sebaliknya hanya tersepit di bahagian pinggang dan lutut antara kenderaan itu dengan tiang di hadapan restoran terbabit,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, kedua-dua pemandu Mitsubishi Triton dan Toyota Wish yang masing-masing lelaki perempuan tidak cedera manakala kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2016 @ 9:31 AM