NELAYAN Vietnam mengasingkan hasil tangkapan selepas ditahan APMM Daerah Maritim Tanjung Sedili.
BOT nelayan Vietnam yang ditahan di kedudukan 26 batu nautika Tenggara Tanjung Sedili, Kota Tinggi.
Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my


Johor Bahru: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Tanjung Sedili menahan sebuah bot nelayan Vietnam yang menangkap ikan di kedudukan 26 batu nautika, tenggara Tanjung Sedili, jam 2 petang kelmarin.

Timbalan Pengarah (Operasi) Daerah Maritim Tanjung Sedili Komander Maritim Sanifah Yusof berkata, pemeriksaan mendapati bot terbabit membawa kira-kira 10 tan ikan dan 900 kilogram sotong kering yang dipercayai ditangkap di kawasan perairan negara.

“Bot terbabit membawa 20 kru warga Vietnam berusia 16 tahun hingga 51 tahun. Mereka dibawa ke Ibu Pejabat APMM Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) dan Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di kawasan perairan negara. Sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 setiap seorang manakala tekong atau nakhoda boleh didenda sehingga RM1 juta,” katanya.

Orang ramai yang mepunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah di laut boleh menghubungi Pusat Operasi APMM 7 di talian 07-8916595.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2016 @ 8:36 AM