Nurul Fithri Yanie (kanan) bersama rakannya pada Festival Agromakanan dan Bioteknologi 2016 POLISAS,di Dewan Sri Mahkota.
Mohd Rafi Mamat
am@hmetro.com.my

Kuantan: Kemampuan menurunkan suhu badan antara kelebihan cincau kering pudina tiga dalam satu yang dihasilkan empat pelajar semester empat Diploma Teknologi Makanan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), di sini.

Inovasi terbaik yang dihasilkan pelajar terbabit turut dikatakan mampu menurunkan tekanan darah tinggi, selain menjadi penyejuk badan ketika musim panas.

Wakil pelajar terbabit, Nurul Fithri Yanie Mohd Rozi, 22, berkata, mereka mengambil masa empat bulan menghasilkan cincau kering pudina tiga dalam satu yang pertama di negara ini.

Katanya, untuk menghasilkan produk berkenaan yang turut mengandungi campuran tepung kanji, perasa pudina dan gula, ia mengambil masa seminggu melalui beberapa proses seperti pengeringan dalam ketuhar satu hingga dua hari.

Katanya, produk berkenaan boleh disimpan selama setahun dalam cuaca kering tanpa menjejaskan warna dan rasanya.

“Untuk menggunakannya hanya perlu merendam dalam air panas. Cincau kering pudina tiga dalam satu ini boleh disediakan panas dan sejuk dengan hasil kajian dilakukan, kebanyakan pengguna lebih menyukai minuman sejuk yang dapat menyegarkan badan.

“Saya yakin produk yang dianggap unik dan bermutu ini mampu menembusi pasaran tempatan jika mendapat sokongan agensi berkaitan, seterusnya mempromosikannya secara berterusan,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui dalam Festival Agromakanan dan Bioteknologi (FAMB) 2016 POLISAS yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif, di sini, kelmarin.

Nurul Fithri berkata, turut sama terbabit menghasilkan produk berkenaan ialah Liny Shazwana Mohd Nizam, 23, Nor Halili Mohd Muhiddin, 20 dan Nadiha Aishah Abdulli, 22.

Dalam program itu, produk yang dihasilkan mereka menerima Anugerah Inovasi Produk Makanan menewaskan 24 pasukan yang bertanding.

Sempena program dua hari itu, pelbagai aktiviti diadakan antaranya pertandingan inovasi produk makanan, gerai jualan, pameran, ceramah dan pembentangan kertas penyelidikan.

Seramai 200 pelajar membabitkan lima politeknik iaitu POLISAS, Politeknik Jeli, Kelantan, Politeknik Sandakan, Sabah, Politeknik Nilai, Negeri Sembilan dan Politeknik Tun Syed Nasir, Johor, menyertai program itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2016 @ 8:21 AM