KERETA dipercayai dinaiki suspek.
IMEJ penjenayah disyaki cuba memecah masuk rumah di Taman Desa Karunmas.
Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my


Kajang: Cubaan seorang penyamun memecah masuk sebuah rumah di Taman Desa Karunmas, Balakong, di sini, Khamis lalu gagal apabila dikejutkan dengan bunyi alat penggera.

Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari, lelaki terbabit dipercayai datang bersama-sama rakan yang menunggu di dalam kereta.

Difahamkan, rumah itu kali kedua cuba dipecah masuk, namun dalam kejadian sebelum ini pemilik bernasib baik kerana memasang kunci tambahan pada jeriji meskipun penyamun memotong kunci mangga pintu luar rumah.

Menurut sumber, gelagat lelaki terbabit turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) jiran mangsa sebelum disebarkan di laman sosial.

“Berdasarkan rakaman CCTV, lelaki terbabit memakai kaca mata hitam dan jaket selain membawa beg bimbit dipercayai mengandungi alatan pecah rumah.

“Lelaki itu dilihat menarik pintu pagar automatik rumah mangsa sehingga terbuka sebelum memasuki anjung rumah teres dua tingkat itu,” katanya.

Sumber berkata, lelaki terbabit cuba memecahkan pintu hadapan rumah sebelum alat penggera berbunyi menyebabkannya melarikan diri.

“Kejadian itu disedari peniaga yang kebetulan sedang membuat persiapan membuka gerai di kawasan berkenaan.

“Dia cuba mengejar penjenayah, namun gagal. Penjenayah melarikan diri dengan Perodua Myvi berwarna biru,” katanya.

Sumber berkata, mangsa membuat laporan di Balai Polis Taming Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2016 @ 10:33 AM