MUHAMAD Faizal dirawat di Hospital Pulau Pinang dan sudah boleh menggerakkan jarinya.
Mohd Hilmi Mahmud
am@hmetro.com.my


Georgetown: “Jari sudah boleh bergerak, namun doktor maklumkan tangan kanan saya ini akan sembuh sepenuhnya dalam tempoh setahun,” kata Muhamad Faizal Yaakob, 18, yang putus tangannya selepas ditetak penyamun dalam kejadian berhampiran sebuah stesen minyak di Bandar Baru Ayer Itam, di sini, Jumaat lalu.

Menurutnya, doktor mengambil masa 15 jam untuk menyambung kembali tangan kanannya yang putus dan dia bersyukur kerana kini keadaannya sudah stabil.

Menceritakan kembali detik cemas itu, Muhamad Faizal berkata, dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Farlim, dengan menunggang motosikal sebelum berhenti seketika di kedai serbaneka 24 jam untuk membeli makanan ringan.

“Saya baru menutup gerai menjual burger dan mahu pulang ke rumah, namun singgah seketika di kedai serbaneka 24 jam untuk membeli makanan ringan.

“Ketika turun dari motosikal, sebuah Proton Perdana V6 berhenti di sebelah saya dan seorang lelaki bertopeng serta berparang terus menyerang dari belakang,” katanya ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini, semalam.

Menurutnya, lelaki terbabit terus menetak tangan kanannya hingga putus dan mengambil cincin emas di jari tangannya itu.

“Dalam keadaan sakit dan takut, saya hanya mampu melarikan diri dan menjerit meminta tolong, manakala lelaki terbabit ketika itu sudah menaiki keretanya.

“Saya memang tidak mengenali lelaki itu dan wajahnya juga tidak jelas kerana dia menutup muka menggunakan topeng,” katanya.

Sementara itu, abang mangsa, Abdull Nazir Yaakob, 31, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan sepupunya berhubung kejadian itu.

“Saya hanya mengetahui kejadian selepas sepupu menghubungi melalui telefon bimbit.

“Saya terus ke hospital untuk melihat keadaan adik dan berasa amat sedih selepas mengetahui tangannya putus,” katanya.

Menurut Abdull Nazir, kini dia bimbang keselamatan adiknya itu dan berharap tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Dalam kejadian Jumaat lalu, seorang remaja lelaki putus tangan kanannya selepas diserang penjenayah di Bandar Baru, Ayer Itam.

Dalam kejadian itu, mangsa kerugian RM3,000 apabila penjenayah terbabit mengambil cincin emas di jari tangannya yang putus itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2016 @ 9:30 AM