AHLI keluarga Rosli Abd Aziz bergotong-royong memasak untuk kenduri majlis pernikahan anak perempuan selepas mengambil bekalan air yang dibawa oleh lori tangki air SYABAS di Pangsapuri Kos Rendah Taman Setia Balakong, Seri Kembangan, semalam.
Garret Dawum
garret@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sebanyak 152 kawasan di Kuala Lumpur, sebahagian daerah Petaling dan Hulu Langat akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual mulai hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan Air Selangor, Amin Lin Abdullah berkata, ini berikutan pencemaran di Sungai Semantan, Pahang yang menyalurkan sumber air mentah ke loji rawatan air Langat dan Cheras.

“Kami menyediakan bekalan air sementara bagi memastikan pengguna tidak mengalami gangguan berpanjangan sepanjang proses pemulihan.

“Pasukan pemantau sungai Kumpulan Air Selangor masih berada di Pahang untuk membantu Badan Kawal Selia Sumber Air Pahang dan Jabatan Alam Sekitar Pahang untuk mengenal pasti pencemaran di sungai berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, loji rawatan air Langat dan Cheras, masing-masing sudah beroperasi pada jam 9 pagi dan 12 tengah hari, semalam selepas sumber air mentah ke loji berkenaan dialihkan kepada empangan Sungai Langat.

“Pengguna perlu mengguna bekalan air secara berhemat memandangkan air daripada loji yang diagihkan ke kolam takungan boleh bertahan selama dua hari,” katanya.

Katanya, bagi mengelak kesesakan di pusat panggilan SYABAS, pengguna dinasihati supaya memuat turun aplikasi telefon pintar ‘mySYABAS’ atau melayari www.syabas.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2016 @ 5:15 AM