KEADAAN kereta pasangan yang disamun.
myMetro

Kuala Lumpur: Pasangan suami isteri yang baru pulang ke rumah tidak menyangka ‘disambut’ tiga perompak bersenjatakan parang yang bertindak menetak mereka bertubi-tubi.

Dalam kejadian jam 11.20 pagi kelmarin, mangsa yang menetap di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini, diserang sejurus pulang dari sebuah bank.

Serangan mengejut itu menyebabkan mangsa lelaki berusia 43 tahun menerima jahitan di lengan tangan kanan dan cedera di tempurung kaki kanan selepas terkena libasan parang.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor berkata, isteri mangsa berusia 59 tahun turut cedera pada jari telunjuk dan menerima tiga jahitan di bahagian kepala.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila mangsa diserang dua lelaki bersenjatakan parang yang bertindak memecahkan cermin kereta milik mangsa.

“Suspek kemudian merampas beg tangan milik isteri mangsa.

“Kejadian itu menyebabkan kedua-dua mangsa cedera selepas berlaku pergelutan dan insiden tarik-menarik apabila mangsa mahu menyelamatkan beg tangan isterinya,” katanya.

Menurutnya, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM1,000 selain mata wang Thailand 1,000 bhat (RM119) dan pasport milik kedua-dua mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2016 @ 5:31 AM