BALAK yang sudah ditebang dibawa keluar di Betau.
Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my


Gua Musang: Ketika segelintir Orang Asli dari suku Temiar menentang pembalakan di Hutan Simpan Balah, di sini, ada antara mereka pula yang menyifatkan aktiviti itu sumber rezeki menyara keluarga.

Untuk golongan ini, mereka memperoleh sekurang-kurangnya RM10 bagi pekerjaan merantai balak di atas setiap treler di kawasan pengumpulan hasil hutan itu yang dikenali sebagai betau.

Seorang daripadanya ialah Jelain Anas, 32, yang mengakui pembalakan membantunya mencari pendapatan tambahan untuk keluarga selain daripada menoreh getah.

“Biasanya saya menoreh getah di kawasan dekat rumah ini, tetapi kalau getah kurang, selalulah ke betau ini untuk rantai balak atas treler.

“Dapat RM10 untuk setiap treler. Setiap hari ada banyak treler keluar masuk, jadi boleh dapat banyak lagi,” katanya ketika ditemui di satu kawasan betau dekat dengan Pos Tohoi, di sini.

Menurutnya, wang diperlukan untuk membeli barang keperluan dan mengisi petrol motosikalnya.

“Dulu lain, pergi ke hutan untuk dapatkan makanan. Sekarang kedai runcit ada, boleh beli keperluan di situ tapi perlukan wang. Sebab itu kena kerja,” katanya.

Dia mengakui tidak masuk campur urusan Orang Asli yang mengadakan sekatan untuk menentang pembalakan, malah mendakwa tidak mengetahui apa-apa mengenai perkara itu.

Dalam pada itu, penduduk Pos Penad, Ayel Ajeb, 49, menolak pembalakan kerana menganggap ia tidak menguntungkan Orang Asli yang masih bergantung kepada hutan untuk sumber makanan dan tempat tinggal.

“Memang kita sudah kurang memburu, kadang kala saja pergi. Tapi pembalakan ini tidak bawa hasil kepada kami. Hanya mereka saja kaut untung.

“Sebab itu kami perlu pertahankan hak ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2016 @ 8:10 AM