CERMIN tingkap turut dirosakkan.
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


Permatang Pauh: Akibat berang selepas gagal mencuri tong gas dan makanan kering dari sebuah pusat asuhan seperti kebiasaannya, beberapa lelaki bertindak menyimbah cat hijau serta menulis perkataan lucah pada pintu premis itu di Permatang Pasir di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian antara jam 12 tengah malam hingga 7 pagi itu, individu tidak bertanggungjawab berkenaan dipercayai memecah masuk Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Permatang Pasir untuk mencuri tong gas dan makanan kering.

Ahli Jawatankuasa PASTI berkenaan, Radzi Harun berkata, sejak beberapa tahun lalu, premis itu sering dipecah masuk individu tidak bertanggungjawab yang melarikan tong gas serta makanan kering dikhaskan untuk kanak-kanak.

“Keadaan itu menyebabkan pengurusan tidak memasak di tadika berkenaan dan meminta kanak-kanak membawa bekal masing-masing.

“Sejak itu, mereka tidak dapat mencuri tong gas dan makanan kering menyebabkan mereka marah hingga tergamak melakukan perbuatan khianat itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, pihaknya ada menerima laporan kejadian dan kes masih dalam siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2016 @ 7:42 AM