SYAHRUL Haninah (dua dari kiri) memberi penerangan kepada pelajar yang mengikuti pengajian al-Quran dan tajwid di Masjid Pekan Kepala Batas.
Norul Awatif Romli
awatifromli@hmetro.com.my


Alor Setar: Benarlah janji Allah SWT apabila seseorang berkehendakkan sesuatu yang baik, maka di situ ditunjukkan jalan. Sebagai seorang Muslim sejati, kesabaran menanti disulami usaha gigih, doa serta berserah padanya pasti menemui kemanisannya.

Pensyarah, Syahrul Haninah Mohd Salleh, 31, berasal dari Kulim yang bergelar al-Hafizah pada usia muda iaitu 15 tahun

Soal minat melakukan sesuatu perkara tidak dinafikan kepentingannya, namun dalam hal mempelajari ilmu al-Quran seseorang yang mahu bergelar Muslim sejati tidak seharusnya meletakkan pilihan.

Ini kerana masih ramai hari ini tidak memandang ilmu al-Quran sebagai suatu keutamaan, tetapi hanya sebagai sampingan untuk bekalan menuju alam akhirat kelak.

Dilahirkan daripada keluarga sederhana, ibu bapa Syahrul menitikberatkan soal agama, justeru, semua lapan anaknya diberi pendidikan agama sempurna sejak kecil hingga tujuh daripadanya bergelar hafiz dan hafizah.

Anak kedua itu berkata, penekanan mendalam dalam pendidikan agama di rumah mendorong dirinya meminati bidang hafazan sehingga mempunyai sijil sanad (sandaran) daripada 10 jenis bacaan qiraat (wajah bacaan) 30 juzuk bersambungan sehingga Rasulullah SAW.

Lebih membanggakan, dia dinobatkan sebagai juara bagi Majlis Hafazan al-Quran Kategori 30 Juzuk Peringkat Kedah tiga tahun berturut-turut pada 2006 hingga 2008.

Selain itu, ibu kepada seorang cahaya mata perempuan berusia dua tahun itu turut mewakili Kedah ke Majlis Hafazan Peringkat Kebangsaan Kategori 15 dan 30 Juzuk pada 2007 dan 2008 sebagai kesungguhannya mempraktikkan ilmu yang dipelajari selama tiga tahun ketika menyambung pengajian di tahfiz dan qiraat di Mesir.

Memiliki Ijazah Sarjana Muda Tahfiz dan Qiraat di Universiti Al-Azhar, Mesir, dia meningkatkan pengetahuan diri dalam bidang Pengajian al-Quran di peringkat sarjana di Kolej Universiti Insaniah, Alor Setar.

“Di sebalik mengajar (Kolej Universiti Insaniah, Alor Setar) saya tidak mensia-siakan bakat dianugerahkan dengan menjadi sebahagian daripada tenaga pengajar di Maahad Tahfiz bagi negeri ini dan Perlis.

“Bagi saya, kelebihan yang dianugerahkan ini bukan untuk tatapan diri sendiri, tetapi perlu dikongsi dengan orang lain supaya sama-sama boleh menjadi Muslim sejati di mata Allah,” katanya yang juga penceramah di laman sosial YouTube bagi TV SIQ (Smart IQ).

Pengasas Modul Hafazan Hujung Minggu di Pusat Smart IQ Quranic (SIQC) itu berkata, kekecewaan melihat masih ramai anak muda masa kini tidak boleh menguasai al-Quran memberi idea untuk mengendalikan program al-Quran dan hafazan menggunakan teknik Smart IQ.

Beroperasi sejak empat tahun lalu, SIQC kini mempunyai tujuh cawangan di sekitar negeri ini dengan 380 pelajar berusia antara empat dan 18 tahun.

“Idea ini timbul apabila saya berasa kecewa setiap kali ke sekolah atau pusat pengajian tinggi ketika diminta mengadakan ceramah berkaitan pengajian al-Quran...masih ramai yang tidak tahu membaca al-Quran dan ini cukup menyedihkan kerana dalam zaman kini agama dilihat semakin dipinggirkan daripada kemajuan dunia.

“Justeru, pusat ini ditubuhkan dengan memberi fokus kepada ilmu al-Quran merangkumi hafazan, tarannum, pengajian al-Quran, tahsin (perbetul bacaan), kem al-Quran, penghayatan al-Quran dan lain-lain program berkaitan kitab mukjizat al-Quran.

“Di sini (SIQC) kami mencipta fenomena baru dengan modul khas hafazan kepada pelajar termasuk sekolah harian sehingga mereka mampu menghafaz al-Quran dalam tempoh setahun bergantung kemampuan diri,” katanya.

Katanya, kelas diadakan itu tidak memerlukan pelajar untuk bermalam, hanya sekadar datang seminggu sekali pada hujung minggu.

“Kelas diadakan dua sesi iaitu pagi dan petang antara tiga hingga lapan jam pada hari Jumaat atau Sabtu. Dalam tempoh itu, pelajar diajar hafazan secara intensif bagi menjadi generasi al-Quran.

“Kaedah ini secara tidak langsung dapat memberi galakan kepada pelajar sekolah harian menghafaz al-Quran, sekali gus meningkatkan mutu kehidupan masyarakat setempat apabila anak remaja disediakan dengan ilmu supaya sentiasa menjunjung kesucian al-Quran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2016 @ 10:16 AM