ORANG ramai mengambil air bukit di Lebuhraya Silk menghala Semenyih.

Kuala Lumpur: Masalah gangguan bekalan air di Selangor yang berlarutan sejak September lalu semakin pulih dengan pemulihan bekalan di daerah Kuala Langat dan Sepang.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Air Selangor Amin Lin Abdullah berkata, masalah bekalan air di dua daerah berkenaan pulih sepenuhnya semalam.

“Setakat jam 2 petang ini (semalam), hanya beberapa kawasan di daerah Petaling dan Hulu Langat yang masih mengalami gangguan bekalan. Bantuan bekalan air akan terus dihantar dengan lori tangki ke beberapa kawasan yang masih terjejas di Hulu Langat dan Petaling sehingga kolam takungan mencapai paras optimum,” katanya.

Menurutnya, pihaknya menasihatkan pengguna supaya menggunakan air secara berhemat bagi mempercepatkan kolam takungan di kawasan berkenaan mencapai dan mengekalkan paras optimum.

“Beberapa kawasan yang masih mengalami gangguan bekalan termasuk Bandar Puteri Puchong, Bandar Sunway Semenyih, Bandar Tasik Kesuma, Bandar Teknologi Kajang, Bluewater Estate, Desa Serdang, Gita Bayu dan Mines Resort.

“Turut terjejas kawasan Taman Bukit Semenyih, Taman Bangi Jaya, Taman Dusun Jaya dan Pusat Tahanan Imigresen Semenyih,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut untuk mengetahui mengenai pemulihan bekalan di beberapa kawasan terjejas melalui aplikasi telefon bimbit pintar, mySYABAS atau melayari laman web, www.syabas.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2016 @ 8:45 AM