MAYAT mangsa diibawa ke Hospital Dungun bagi proses bedah siasat.
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


Dungun: Tindakan seorang pemandu menyimbah air ke gegalas atau bearing tayar kenderaan dipandunya membawa padah apabila ia meletup dan menyebabkan dia cedera di muka sebelum maut dalam kejadian di Jalan Jerangau-Jabur dekat Bukit Besi, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.30 malam, Mohd Nazri Jusoh, 41, memandu treler membawa muatan simen dari Kuantan ke Kuala Terengganu dan sebaik tiba di lokasi didapati gegalas kenderaannya mengalami masalah.

Mangsa yang berasal dari Kampung Tok Dir, Kuala Terengganu itu memberhentikan kenderaannya itu untuk memeriksa keadaan gegalas terbabit.

Selepas itu, mangsa mendapati gegalas berkenaan mengalami masalah teknikal serta berasap, dia mengambil air lalu menyimbahnya.

Difahamkan, tindakannya itu menyebabkan sebiji daripada tayar kenderaan berkenaan tiba-tiba meletup hingga mengenai mangsa.

Mangsa dikatakan tercampak dan mukanya cedera terkena casis treler terbabit sebelum meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Bandar Al-Muktaffi Billah Shah (AMBS) Jaswari Awang berkata, sepasukan pegawai dan anggota bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa sudah meninggal dunia di tepi trelernya dan kenderaannya tidak terjejas.

“Mayat Mohd Nazri diserahkan kepada pihak polis untuk diambil tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian itu.

Menurutnya, mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat yang diselesai kira-kira 12 tengah malam.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia disebabkan parah di kepala dan jenazahnya sudah dituntut keluarganya kira-kira jam 1 pagi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2016 @ 7:13 AM