Rosli bersama isterinya, Siti Mariam pada majlis penyampaian cabutan bertuah BSN dan anugerah perkhidmatan cemerlang PDRM 2015.
Asmah Rusman
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: “Tuah ayam nampak di kaki, tuah saya menang RM1 juta,” kata Ketua Balai Polis Bandar Tenggara, Kota Tinggi, Johor Inspektor Rosli Mohidin ketika ditanya perasaannya selepas diumumkan sebagai pemenang cabutan Sijil Simpanan Premium (SSP), Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi cabutan untuk September.

Lebih manis, nombor bagi sijil simpanan berkenaan hadiah yang diterima bersama-sama dengan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2015, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Rosli, 50, kejayaan menerima APC berkenaan membolehkan dia menerima hadiah SSP RM1,000. Dia kemudian menambah RM3,000 sebagai simpanan dua minggu sebelum cabutan bagi September dibuat.

“Saya tidak percaya memenangi RM1 juta. Saya sangka panggilan telefon dibuat kakitangan BSN adalah ‘panggilan hangit’ dilakukan sindiket penipuan pelaburan, apatah lagi sebagai pegawai polis, pastinya saya lebih berwaspada.

“Bagaimanapun, kemenangan itu dimaklumkan sekali lagi oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor yang turut meminta saya menonton pengumuman nama pemenang yang disiarkan di televisyen,” katanya yang ditemani isteri, Siti Mariam Puteh, 49.

Menurut Rosli, dia merancang menggunakan hadiah kemenangan itu untuk mengerjakan umrah bersama Siti Mariam Januari depan selain tabungan pendidikan demi masa depan tiga anak yang masih belajar.

“Alhamdulillah, ini rezeki daripada Allah SWT selepas menabur bakti 31 tahun dalam PDRM. Saya tidak menyangka menerima anugerah berganda iaitu APC dan cabutan bertuah BSN.

“Saya berharap kemenangan ini menjadi motivasi kepada rakan dan anggota PDRM khususnya anak buah saya di Balai Polis Bandar Tenggara supaya menjadikan amalan menabung sebagai satu daripada perancangan jangka panjang untuk menjamin masa depan,” katanya.

Seramai 54 pegawai kanan berpangkat Senior Asisten Komisioner (SAC) dan ke bawah di peringkat Bukit Aman menerima APC 2015 yang disampaikan Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM Datuk Sri Zulkifli Abdullah pada majlis diadakan di Bukit Aman, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2016 @ 6:40 AM