Anggota tentera membantu menghantar bekalan air menggunakan lori tangki ATM kepada penduduk di Bandar Sunway Semenyih.
Garret Dawum
garret@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekalan air ke beberapa kawasan tinggi dan di penghujung sistem agihan akan pulih sepenuhnya tengah hari ini.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Air Selangor Amin Lin Abdullah berkata, gangguan bekalan air akibat penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang tercemar sudah pulih 96.7 peratus.

“Antara kawasan terlibat ialah di daerah Petaling iaitu Hospital Serdang, IOI City Mall, Kawasan Perdagangan Seri Kembangan, Seri Kembangan 1 hingga 13, Apartmen Sri Bayu, Apartmen Megaria, Bukit Serdang 3, 4, 5, 6, 7 dan 8, Taman Serdang Utama, Taman Wasasan Puchong, Puchong Hartamas dan Bandar Puteri Puchong.

“Selain itu, di daerah Hulu Langat membabitkan Bandar Sunway Semenyih, Bandar Tasik Kesuma, Bandar Teknologi Kajang, Kajang Utama, Kampung Rinching Hilir, Kampung Rinching Hulu, Kampung Rinching Tengah, Taman Bangi Jaya, Taman Bukit Semenyih, Taman Desa Kenanga, Taman Vista Emas Sungai Tangkas, Taman Bukit Permai, Taman Bukit Kajang Baru, Taman Desa Mewah, Taman Dusun Jaya, Taman Hieow Piow, Taman Tropika Sungai Tangkas, Universiti Kebangsaan Malaysia Lingkungan 1 dan 2 selain Cyberjaya, Sepang,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, pihaknya akan meninjau semula keadaan pemulihan keseluruhan pada hari ini.

“Langkah pemulihan sedang giat dijalankan di kawasan tersebut. Bantuan air kecemasan melalui lori tangki air pula sudah dan sedang dihantar ke kawasan terlibat.

“Laporan ujian air terawat LRA Sungai Semenyih menunjukkan kualiti air terawat mematuhi kesemua parameter yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, pengguna boleh mendapatkan status terkini mengenai bekalan air melalui aplikasi telefon bimbit pintar mySYABAS dan www.syabas.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 9:34 AM