SULTAN Nazrin melihat Pelan Strategik 2016-2021 MAIPk sambil diperhatikan Dr Zambry (kiri) dan Dr Wan Mohd Zahid.
Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my


Ipoh: Pendukung amanah wajib diserahkan kepada mereka yang ahli dalam bidangnya, menghormati hukum dan melaksanakan hukum secara adil, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda bertitah, tugas dan tanggungjawab itu wajib disempurnakan secara berhemah terutama dalam kalangan mereka yang diamanahkan dengan kuasa.

“Perbuatan pegawai penguat kuasa memperlihatkan kuasa sehingga meminggirkan adab, tertib dan sopan, bukan budaya dianjurkan Islam.

“Tindakan secara kasar dan keras yang merendah-rendah dan memperkecilkan hingga mengakibatkan orang berasa terhina, dizalimi dan diaibkan, baik secara lisan, apatah lagi secara perbuatan tidak harus berlaku dan tidak sepatutnya dilakukan mana-mana pegawai penguat kuasa agama,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Logo dan Pelan Strategik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di Kompleks Islam Darul Ridzuan, di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria dan Yang Dipertua MAIPk Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin.

Sultan Nazrin bertitah, pegawai penguat kuasa agama berada di barisan hadapan dan terdedah kepada penilaian umum dan keindahan Islam wajib dicerminkan dengan sifat berhemah ketika memenuhi tugas dan melaksanakan operasi dengan mengamalkan pendekatan berdakwah, menyeru ke jalan kebaikan, memanggil pihak melakukan kesilapan untuk diberikan nasihat secara tertutup serta mengaturkan sesi kaunseling.

“Modus operandi kakitangan penguatkuasaan Jabatan Agama Islam perlu berpandukan pendekatan preventif (mencegah) dan bukan pendekatan punitif (menghukum),” titah baginda.

Baginda turut menasihatkan MAIPk supaya berwaspada, peka dan cerdas mentafsir dinamik yang berlaku serta sedia melakukan pengubahsuaian kepada strategi diperkenankan selaras perkembangan dan perubahan senario semasa dunia dan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2016 @ 9:28 AM