ANGGOTA AADK Hulu Langat memeriksa pokok yang dipacak di atas tilam.
Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my


Kajang: Seorang lelaki yang mengalami ketagihan melampau syabu didapati berhalusinasi menyangka dia sedang mengusahakan projek tanaman di rumahnya.

Tindakan itu menyebabkan lelaki berusia 30-an terbabit memacakkan kayu manis dan ranting pokok kayu di atas tilam di dalam bilik tidur rumahnya di Batu 9, Cheras, di sini.

Ketua Pegawai AADK Hulu Langat Muhamad Ramlan Syed Ahmed berkata, lelaki itu antara sembilan individu ditahan pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Hulu Langat diketuai Hasrulaznam Kamaruzaman Selasa lalu.

“Operasi bermula jam 9 malam itu turut menahan lapan lagi individu di beberapa lokasi berasingan di Kajang dan Hulu Langat, di sini.

“Seramai 12 individu diarahkan menjalani ujian air kencing dan sembilan daripada mereka termasuk seorang wanita didapati positif methaphatemine, morfin dan ganja,” katanya.

Beliau berkata, tangkapan ke atas lelaki yang mengalami halusinasi itu dilakukan selepas menerima aduan daripada keluarganya memaklumkan keadaan lelaki itu bertambah teruk akibat ketagihan dadah.

“Sebaik pegawai AADK Hulu Langat tiba di rumahnya jam 10 malam, kami mendapati ranting pokok dicucuk lelaki itu di atas tilam di biliknya.

“Ini adalah tangkapan kedua dilakukan ke atas lelaki terbabit. Pada tahun lalu, dia dihantar ke Pusat Pemulihan Jagaan dan Rawatan (CCRC) Tampoi, Johor,” katanya.

Menurutnya, keadaannya menjadi baik ketika dibebaskan tahun lalu, namun kembali terjebak semula mengambil syabu selepas bertemu rakan lain.

“Semua individu yang ditahan berusia 15 hingga 44 tahun. Sampel air kencing dihantar ke makmal patalogi untuk pengesahan pakar sebelum tindakan selanjutnya,” katanya.

“Mereka ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2016 @ 9:52 AM