API marak meranapkan bengkel kereta di Sungai Buloh, semalam.
myMetro

Sungai Buloh: Perbuatan khianat dipercayai menjadi punca kebakaran mendadak empat kedai termasuk sebuah kereta di Jalan Kampung Melayu Batu 13, Kampung Melayu Sungai Buloh, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, kebakaran memusnahkan dua bengkel kereta, sebuah bengkel motosikal dan sebuah kedai alat ganti.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh, Mohammed Sabri A.Shamsudeen berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.55 pagi dan sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Seramai 14 anggota bergegas ke lokasi itu dan mendapati api didapati sedang marak membakar semua premis.

“Sebuah kereta model Proton Waja yang diletakkan di hadapan bengkel turut mengalami kerosakan sebanyak 30 peratus akibat kebakaran itu,” katanya.

Menurutnya, anggota bomba yang melakukan tugas memadamkan kebakaran itu terjumpa ‘objek’ dikaitkan sebagai punca kejadian itu di bahagian tengah bengkel.

Mohammed Sabri berkata, kejadian kebakaran itu dipercayai mempunyai unsur khianat.

“Tidak terdapat botol mahupun bekas minuman ditemui sebagai barang bukti kes. Namun terdapat kesan yang terarah kepada unsur khianat,” katanya.

Dia berkata, operasi memadamkan kebakaran tamat sepenuhnya pada jam 10.32 pagi, semalam.

“Anggaran kerugian dan punca kebakaran masih lagi dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2016 @ 9:40 AM