ANGGOTA tentera membantu menghantar bekalan air menggunakan lori tangki ATM kepada penduduk di Bandar Sunway Semenyih yang mengalami masalah gangguan bekalan air.
PENDUDUK Bandar Sunway Semenyih mengisi air di dalam bekas selepas mengambil daripada bekalan lori tangki ATM.
Norzamira Che Noh
hmetroshahalam@hmetro.com.my

Shah Alam: Hampir 90 peratus akaun pengguna yang terjejas di empat daerah di negeri ini sejak Khamis lalu, sudah menerima bekalan air bersih dan masalah itu dijangka pulih sepenuhnya, awal pagi esok.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani negeri Zaidy Abdul Talib berkata, Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) akan menyemak tempoh sasaran pemulihan secara berperingkat bagi memastikan bekalan air ke semua kawasan itu dapat dilaksanakan secepat mungkin.

“Usaha untuk memulihkan bekalan air ke kawasan Hulu Langat, Kuala Langat, Petaling dan Sepang memerlukan sedikit masa kerana ia membabitkan jumlah pengguna yang ramai. Kita memohon maaf dan memahami kesulitan terpaksa dihadapi pengguna dengan situasi gangguan air tidak berjadual ini,” katanya di sini, semalam.

Empat daerah itu mengalami gangguan bekalan air berikutan pencemaran air mentah di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.

Lokasi terjejas di Hulu Langat antaranya Bangi, Kajang, Semenyih dan Rinching, manakala bagi daerah Kuala Langat pula membabitkan Morib, Banting, Bandar Saujana Putra, Bandar Rimbayu dan Telok Panglima Garang.

Daerah Petaling pula membabitkan USJ 1 hingga 27, Puchong, Seri Kembangan dan Serdang sementara di Sepang adalah Putrajaya, Cyberjaya, Bandar Nusa Putra, Putra Heights, Pulau Meranti, Kota Warisan, Bandar Bukit Puchong serta Sungai Merab.

Katanya, penghantaran lori tangki dan air botol ke kawasan terjejas masih diteruskan, tetapi akan mengutamakan kepada penggunaan kritikal seperti di hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2016 @ 9:34 AM