CARLOS Basri, 52, menunjukkan perbezaan warna air yang diterima penduduk di kawasan Putrajaya.
Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my

Putrajaya: Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) sedang melakukan siasatan terperinci untuk mengenalpasti ‘dalang’ penyebab pencemaran di sepanjang Sungai Semenyih sehingga menjejaskan 337,000 akaun pengguna di empat daerah Hulu Langat, Kuala Langat, Petaling dan Sepang sejak Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Air Selangor Amin Lin Abdullah berkata, siasatan dilakukan dengan kerjasama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang mempunyai lebih kuasa untuk mengambil tindakan.

“Siasatan sudah dijalankan sejak 22 September lagi sebaik sahaja pihak kami mengesan pencemaran berlaku di sungai berkenaan.

“Siasatan awal mengesan satu punca pencemaran dari Sungai Lalang di kawasan perindustrian Hi-Tech Semenyih, dan sampel air dari kawasan itu sedang diuji untuk mengenal pasti kandungan bahan cemar,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam.

Amin berkata, pihaknya masih tidak dapat mengesahkan sama ada pencemaran itu dilakukan secara sengaja atau berlaku kebocoran tanpa disedari sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Kami sedar pencemaran kerap berlaku di sepanjang Sungai Semenyih. Jadi, siasatan lebih meluas perlu dilakukan untuk mengenal pasti pencemar, sebelum mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

“Ini kerana, tindakan mereka menyebabkan bekalan air terganggu dan ramai pengguna menerima akibat daripada perbuatan tidak bertanggungjawab itu,”katanya.

Sementara itu, beliau berkata, bekalan air kepada 337,000 akaun pengguna di empat daerah terbabit pulih secara berperingkat mulai semalam.

Bagaimanapun, katanya, proses pemulihan bekalan air ini mengambil masa kerana membabitkan penyaluran dan agihan bekalan ke kawasan yang luas dan jumlah pengguna yang ramai.

“Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih sudah mula beroperasi sejak jam 2.30 petang kelmarin, selepas kerja membersihkan pencemaran dilakukan.

“Jadi, sebahagian kawasan sudah menerima bekalan air, manakala sebahagian lagi mungkin belum terima... Kami berharap pengguna bersabar kerana kami sedang giat melaksanakan proses meningkatkan paras air kolam terbabit bagi mempercepatkan pemulihan bekalan kepada pengguna,”katanya.

Amin berkata, pengguna yang memerlukan bekalan air boleh menghubungi talian bebas tol 1-800 88-5252 atau menggunakan aplikasi telefon bimbit pintar ‘mySYABAS’ dan www.syabas.com.my dengan menghantar maklumat mengenai kawasan terbabit.

Kawasan yang sedang mengalami gangguan bekalan air sementara ketika ini adalah daerah Hulu Langat meliputi Bangi, Bandar Bukit Mahkota, Kajang, Semenyih dan Rinching; daerah Kuala Langat meliputi Morib, Banting, Bandar Saujana Putra, Bandar Rimbayu dan Telok Panglima Garang.

Sementara daerah Petaling termasuk mereka yang tinggal di USJ 1-27, Puchong, Seri Kembangan dan Serdang manakala daerah Sepang meliputi Putrajaya, Cyberjaya, Bandar Nusa Putra, Putra Heights, Pulau Meranti, Kota Warisan, Bandar Bukit Puchong dan Sungai Merab.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2016 @ 6:22 AM