QALIF Daniel bersama Harizal ketika dibawa bapanya menghadiri majlis pengebumian Hani.
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


Alor Gajah: “Saya tengok Hani melintas dan lepas itu dia melambung,” itu kata-kata yang mampu diluahkan Qalif Daniel Mohd Fadli, 7, rakan kepada Hani Harizah Harizal, 7, murid tahun satu yang maut akibat cedera parah dirempuh Proton Preve dipandu seorang wanita di depan Sekolah Kebangsaan (SK) Pegoh di sini, jam 1 tengah hari, Khamis lalu.

Qalif ditemui ketika dibawa bapanya, Mohd Fadli Abdul Raof, 35, menghadiri majlis pengebumian arwah rakannya itu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jelatang di sini, jam 12.30 tengah malam kelmarin.

Biarpun masih kecil, Qalif dilihat memahami erti pemergian dan kehilangan seorang sahabat apabila dia dilihat menekup muka dan menangis teresak-esak sebaik jenazah Hani Harizah disemadikan.

Selepas majlis pengebumian selesai, dia ditemukan dengan bapa arwah rakannya itu, Harizal Md Dahai, 41, dan ketika itu, sekali lagi air mata Qalif mengalir hingga membuatkan Harizal turut tidak mampu membendung air matanya lalu memeluk kanak-kanak itu.

Menurut Mohd Fadli, Qalif diambil neneknya dari sekolah pada hari kejadian dan anaknya yang berada berhampiran lokasi itu sempat melihat Hani Harizah dirempuh kereta berkenaan.

“Sebenarnya arwah Hani Harizah baik dengan isteri saya dan ketika berjumpa, arwah sering mengadu yang anak kami (Qalif) suka mengusiknya ketika di sekolah.

“Mereka berdua amat rapat, sebab itu saya bawa dia (Qalif) datang bersama ke majlis pengebumian arwah malam ini (malam semalam),” katanya.

Kematian murid tahun satu SK Pegoh itu menarik simpati ramai apabila dihadiri lebih 200 orang membabitkan ahli keluarga, kenalan serta jiran.

Pada majlis pengebumian itu juga, kesedihan jelas terpancar pada wajah ibu mangsa, Haniza Mat Sarip, 37, berikutan kehilangan anak bongsunya itu, malah bapa arwah, Harizal juga kelihatan sugul dan lemah hingga terpaksa dipapah ahli keluarga untuk berdiri akibat terlalu sebak melihat jenazah anak bongsunya itu disemadikan.

Semalam, Harian Metro melaporkan arwah disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Wad Pembedahan Pediatrik, Hospital Melaka pada jam 2.55 petang. Sebelum itu, mangsa yang cedera parah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama kerana mengalami darah beku dalam kepala, pendarahan dalaman serta patah tangan kiri.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abd Aziz ketika dihubungi berkata, siasatan kes kemalangan itu dilakukan mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2016 @ 5:23 AM