MOHD Azhar didakwa di Hospital Pakar Salam kerana memalsukan maklumat Borang Pemeriksaan Kebun, empat tahun lalu.

Seremban: Pendakwaan terhadap seorang pembantu penyelidik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dilakukan di Hospital Salam, Senawang di sini, semalam, selepas tertuduh dimasukkan
ke hospital berkenaan, kelmarin akibat serangan jantung.

Mohd Azhar Mohd Arif, 50, didakwa pitam
di rumahnya di Garden Avenue, Seremban 2
di sini, sebelum dibawa
ke hospital berkenaan oleh ahli keluarga.

Prosiding diadakan secara tertutup di wad hospital itu dengan dihadiri Hakim Mahkamah Khas Rasuah Fathiyah Idris, Timbalan Pendawa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nurdiyanah Mohd Nawawi dan jurubahasa mahkamah.

Mohd Azhar mengaku tidak bersalah di atas empat pertuduhan dan mohon dibicarakan.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa mengemukakan empat tuntutan palsu dalam borang pemeriksaan kebun berjumlah RM56,320 atas nama Abdul Aziz Ishak, Md Sulaiman Ahmad, Abdul Razak Musa dan Nizamudin Abd Rahman.

Tertuduh didakwa mengesahkan, melawat dan memeriksa lot kebun milik empat penama
di Mukim Ulu Jempol, Mukim Seri Menanti dan Mukim Ulu Muar, Kuala Pilah dekat sini, sedangkan dia tidak berbuat demikian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2016 @ 8:41 AM