BOT penumpang yang terbalik di jeti Pelabuhan Klang, semalam.
Fuad Hadinata Yaacob
hadinata@hmetro.com.my


Pelabuhan Klang: Seorang jurumudi lemas, manakala seorang penumpang masih hilang selepas sebuah bot dinaiki enam orang terbalik akibat dipukul ombak kuat dalam kejadian di jeti Pelabuhan Klang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 petang, mangsa yang lemas dikenali sebagai Tan Bun Hiang, 47, sementara seorang didapati hilang, manakala empat penumpang lain terselamat.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Alzafny Ahmad berkata, kejadian berlaku selepas bot berkenaan terkena ombak kuat daripada kapal besar yang melalui kawasan terbabit selain keadaan arus deras.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat dihentikan jam 7 malam semalam dan akan disambung semula pagi ini.

“Operasi dihentikan kerana cuaca gelap dan disambung semula esok (hari ini). Pusat operasi akan dibuka di Pangkalan Polis Marin di Pulau Indah, Pelabuhan Barat,” katanya ketika dihubungi, di sini, malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Polis Marin dalam operasi mencari dan menyelamat berkenaan.

Katanya, mayat warga tempatan itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, di sini, dan lima mangsa lain berasal dari India adalah anak kapal MV LINAU6 yang berlabuh di Pelabuhan Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2016 @ 6:40 AM