ZAINI Amnah (kanan) ketika menerangkan mengenai produk yang dipamer pada majlis Sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2016 di PICC.
Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Putrajaya: Siapa sangka bermula dengan rawatan selepas bersalin secara kecil-kecilan selepas mendapat ilmu perbidanan daripada arwah nenek, seorang wanita nekad untuk mengembangkan kaedah tradisional berkenaan dengan mengajar mereka yang berminat.

Kini ilmu berkenaan bukan hanya diminati rakyat tempatan, malah turut mendapat tempat dalam kalangan warga asing terutama dari Australia, Korea, Amerika Syarikat dan Jepun yang ingin mendalami ilmu perbidanan tradisional.

Pengurus dan Tenaga Pengajar ZBS Skills Centre Zaini Amnah Adnan, 56, berkata, kebanyakan mereka berminat untuk menuntut ilmu berkenaan selepas mendapat rawatan atau urutan dengan pusat rawatan kendaliannya.

“Semuanya kami lakukan secara tradisional seperti yang diwarisi nenek moyang bermula dengan urutan, bertungku, mandian, berbengkung dan bertangas bagi wanita yang lepas bersalin.

“Rata-rata mereka mengakui perbezaan selepas menjalani rawatan dan berhasrat untuk mempelajarinya. Jadi saya akan memperturunkan ilmu menerusi kursus yang dijalankan sama ada dalam tempoh tiga atau lima hari,” katanya.

Zaini Amnah berkata, perbezaan yang dialami pelanggan mendorong mereka untuk mendalami ilmu perawatan dalam pantang memandangkan sebelum ini mereka hanya berurut secara terapi atau aromaterapi dan bukannya secara tradisional Melayu.

“Saya tidak lokek ilmu, sebaliknya saya mengambil konsep berkongsi rezeki dengan orang lain. Lagi pun ilmu yang ada bukan boleh dibawa mati, jadi tidak salah jika kita berkongsi dengan orang lain.

“Ia penting supaya ilmu perbidanan dapat diperluaskan lagi ke seantero dunia, sekali gus menjadikannya tidak pupus ditelan zaman sebaliknya terus berkembang luas,” katanya.

Lebih menarik, kursus kemahiran yang ditawarkanya turut diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia yang membolehkan semua peserta yang menamatkan kurus diberikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Katanya, pengiktirafan itu membolehkan pelatih meneroka pasaran lebih luas bukan hanya dalam negara, malah luar negara memandangkan permintaan terhadap rawatan dalam pantang turut mendapat tempat dalam kalangan warga Malaysia yang berada di luar negara.

“Kami banyak mendapat permintaan daripada rakyat Malaysia yang berada di luar negara untuk menjaga mereka sepanjang berpantang, pasaran memang luas kerana rakyat kita ramai di sana terutama London, Dubai, Doha, Australia dan Amerika Syarikat (AS),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2016 @ 7:01 AM