Peserta melipat bendera terpanjang sempena Program Kembara Amal Anak Merdeka Patriot 16 UTM, 2016 di Padang kawad UTM Skudai.

Johor Bahru: Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya mencipta Jalur Gemilang Cap Tapak Tangan terpanjang di Malaysia iaitu sepanjang 1297.78 meter, sekali gus diiktiraf dalam Malaysian Book Of Record (MBOR).

Sijil MBOR disampaikan wakilnya, Yap Sow Fun dalam majlis penyerahan bendera itu kepada Ketua Pengarah Patriot 16, Muhammad Athir Adib Zulfakor, kelmarin.

Jalur Gemilang itu dihasilkan menerusi program kembara selama lima hari yang disertai 64 penunggang motosikal berkuasa besar bermula 14 sehingga 18 September lalu melalui laluan sejauh 2074.7 kilometer.

Muhammad Athir yang juga Pengarah Program itu berkata, Jalur Gemilang yang dihasilkan dalam masa sebulan itu sempena program Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia menerusi Kembara Amal Anak Merdeka Patriot 16 UTM.

“Program ini bertujuan memupuk semangat cintakan negara dan memeriah serta menggalakkan kibaran Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-59 dan Hari Malaysia.

“Seramai 100,000 rakyat Malaysia terdiri daripada orang ramai dan murid daripada pelbagai bangsa telah meletakkan cap tapak tangan masing-masing di atas kain rentang sepanjang 1,297.78 meter selama lima hari kembara di enam destinasi persinggahan sepanjang konvoi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis penyerahan Bendera Cap Tapak Tangan yang Terpanjang di Malaysia dan penerimaan sijil MBOR di padang kawad UTM.

Turut hadir, Pengarah Pembangunan Mahasiswa UTM dan Penasihat program, Profesor Madya Ahmad Khaled, Pengerusi Institusi Pembangunan Fellow UTM, Dr Johari Sihes dan Pengerusi Majlis Pengetua UTM, Profesor Madya Doktor Abdullah Sani Legi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2016 @ 5:49 AM