Anggota pasukan penyelamat yang terbabit mencari badan mangsa dibaham buaya di Sungai Samarahan.
Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my


Samarahan: Operasi mencari badan mangsa yang dibaham buaya di Sungai Samarahan, Isnin lalu diteruskan dengan memfokuskan kawasan pencarian sekitar dua kilometer ke hulu dan hilir sungai.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Farhan Sufyan Borhan berkata, operasi yang memasuki hari keempat belum menemui sebarang tanda positif penemuan badan mangsa.

“Kami fokuskan pencarian di sekitar tapak pembinaan jambatan Kampung Baru, di sini sehingga dua kilometer
di hulu dan hilir sungai.

“Sepanjang operasi, kita belum menemui petunjuk sebahagian badan mangsa,” katanya.

Katanya, operasi ditangguhkan pada jam 6 petang dan akan disambung semula hari ini.

Dalam kejadian Isnin lalu, mangsa, Silvester Kilat Lee, 19 tahun disedari hilang dari rumahnya di tapak pembinaan jambatan dan dikhuatiri terjatuh kedalam sungai.

Sebahagian badan mangsa ditemui dua kilometer dari Pangkalan Feri Muara Tuang, Kota Samarahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2016 @ 5:21 AM