EIZLAN bersama anak-anaknya.
Najiy Jefri

najiy.jefri@hmetro@com.my

Kuala Lumpur: Pelakon dan ahli perniagaan Datuk Eizlan Yusof menjelaskan bekas isteri, Vie Santie tidak pernah menghalangnya bertemu dan meluangkan masa bersama anak-anak.

Eizlan berkata, sejak bercerai lebih setahun lalu Vie tidak pernah menyekat untuk bertemu dan membawa anak-anak tinggal bersamanya.

“Alhamdulillah Vie tidak pernah meletakkan sebarang had. Saya percaya Vie faham anak-anak juga memerlukan kasih sayang seorang bapa.

“Justeru, dia tiada masalah sekiranya saya mahu bertemu atau membawa anak-anak tinggal bersama pada bila-bila masa,” katanya.

Ketika ini, ketiga-tiga anak Eizlan tinggal bersamanya memandangkan Vie sedang mengerjakan ibadah Haji.

Menurut Eizlan, meskipun sibuk dengan rutin kerja yang padat, dia tetap mencari masa untuk bersama anak-anak.

“Siapa yang mengikuti perkembangan saya di laman Instagram, pasti tahu saya kerap habiskan masa bersama anak-anak.

“Bagi saya, walaupun sibuk dengan rutin kerja yang tidak menentu, anak-anak tetap menjadi keutamaan.

“Selalunya saya dan anak-anak akan berbincang ke mana kami mahu pergi,” katanya.

Eizlan mendirikan rumah tangga pada 7 Julai 2007 bersama Vie namun bercerai pada 16 Februari 2015.

Hasil perkahwinan selama lapan tahun, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Vie Zaara, 8, Zareef Yusof, 6, dan Vie Zaalia, 3.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2016 @ 9:34 AM