KARIAH Masjid Al-Hidayah memeriksa bangkai kerbau yang mati.
Recqueal Raimi
hmkk@hmetro.com.my


Tuaran: Keterujaan lebih 200 penduduk Kampung Ranap untuk melihat aktiviti penyembelihan tidak kesampaian apabila dua daripada tiga kerbau yang hendak disembelih, mati mengejut di Masjid Al-Hidayah, Kiulu, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, kedua-dua haiwan berkenaan mati dengan kesan buih di mulut dipercayai akibat termakan racun.

Seorang penduduk, Rusimin Saeun, 48, berkata, haiwan yang disumbangkan oleh Masjid Bandaraya Kota Kinabalu itu sepatutnya disembelih sempena perayaan Aidiladha sebelum diagihkan kepada kariah masjid.

“Sejurus selepas menunaikan solat hari raya, kami segera ke pekarangan masjid untuk menghadiri majlis penyembelihan haiwan korban.

“Bagaimanapun, dua kerbau yang ditambat terbaring di atas tanah dengan mulut yang berbuih,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Tambah Rusimin, pihak masjid memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Haiwan bagi melakukan siasatan termasuk mengenal pasti punca sebenar kematian haiwan berkenaan.

“Setakat ini, kami tidak pasti sama ada ia satu perbuatan khianat atau tidak.

“Bagaimanapun, keadaan itu tidak menjejaskan ibadat korban tahun ini apabila kami masih berpeluang menyaksikan penyembelihan seekor kerbau, lembu dan kambing yang masih tinggal,” katanya.

Rusimin berkata, menjadi kebiasaan pihak masjid menerima tiga kerbau untuk dikorbankan menjelang Aidiladha.

“Ia kejadian pertama yang berlaku sepanjang lebih 30 tahun saya meraikan Aidiladha di sini,” katanya.

Difahamkan kerbau berkenaan mula berada di perkarangan Masjid Al-Hidayah sejak Sabtu lalu sebelum dijadualkan disembelih selepas umat Islam menunaikan sembahyang Aidiladha.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2016 @ 10:11 AM